
Ketika saya berlaku jujur bahawa saya tidak mahu diidolakan dan tidak suka sungguh diberi ucapan seperti, “saya idolise sangat akak”, banyak yang tidak mengerti dan enggan menerima.
Ada juga yang menyangka ketidak sukaan itu disebabkan saya fikir bahawa Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam sahaja yang berhak diidolakan.
Tanggapan tersebut salah seratus persen.
Maka tulisan ini adalah untuk menyelesaikan persoalan ini, once and for all.
Konotasi “Idola” dan “Ikon”
Pertama, kita lihat apa maksud perkataan ‘idola’ dan ‘ikon’. Memandangkan dua perkataan ini adalah terjemahan dari bahasa Inggeris “idol” dan “icon“, kita rujuk huraiannya dari kamus bahasa berkenaan.
Menurut Oxford Learner’s Dictionaries, ‘idol‘ bermaksud “a person or thing that is loved and admired very much” atau “a statue that is worshiped as a god“
Manakala Merriam Webster mentakrifkan ‘icon‘ sebagai “a person or thing widely admired especially for having great influence or significance in a particular sphere“, selain menjelaskan asal perkataan dari [Late Greek eikōn, from Greek] in Eastern Orthodox Christianity : a representation (as in a mural, a mosaic, or a painting on wood) of sacred events or especially of a sacred individual (such as Jesus Christ, the Virgin Mary, or a saint) used as an object of veneration or a tool for instruction.
Dari dua terjemahan ini, memadailah untuk kita memahami konotasi yang terbit dari dua perkataan idola dan ikon ini bukanlah sesuatu yang layak diperjuangkan.
Sekadar sesuatu yang kaku seperti sebuah tugu atau monumen, yang diukir dan menjadi pujaan orang ramai.
Satu label yang dikalungkan kepada seseorang tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat. Dengan tujuan untuk memandangnya dengan ketakjuban dan kekaguman. Bahawa ia adalah satu figura yang barangkali pernah berjasa; termasuk juga yang pernah membinasa.
Sedangkan seorang Rasul penutup kenabian, seorang kekasih Tuhan, seorang Utusan Agung yang membawa risalah kebenaran perlu ditanggapi lebih luas dari sekadar figura yang dipertontonkan.
Maka hanya Tuhan yang berhak berbicara mengenai kedudukan baginda.
Cukuplah dengan gelaran yang Ilahi sampaikan melalui kalamNya yang suci,
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (21)
Terj: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.
[Surah Al-Ahzab : 21]
Uswah Hasanah.
Atau sering juga diganti dengan Qudwah Hasanah.
Atau boleh juga diterjemah sebagai Contoh Ikutan.
Biasa juga diganti dengan Suri Tauladan.
Lalu dipendekkan sebagai ‘Keteladanan’.
Peranan Seorang Qudwah Hasanah
Seorang yang kita anggap sebagai ‘Keteladanan’ tidak akan tersimpan hanya sebagai ‘patung’ yang kita simpan atau jaga.
Berbeza dengan sesuatu yang diangkat sebagai ‘idola’ atau ‘ikon’, seseorang yang bergelar uswah hasanah memainkan peranan yang sangat bermakna di kehidupan setiap manusia, apatah lagi apabila lantikannya adalah dari Yang Maha Pencipta.
Ada ikatan hati, sebuah perhubungan dua hala.
Setiap usaha kita mencontohi seorang Uswah Hasanah dipandang oleh Ilahi sebagai langkah untuk mencapai keredhaanNya.
Dan setiap kecintaan yang tumbuh pada kefahaman terhadap kehidupan Uswah Hasanah, hanyalah balasan kecil terhadap kecintaan pertama yang telah jelas pada setiap pengorbanan Rasūlullāh sepanjang hayat baginda.
Setiap malam yang kepulangannya dalam keadaan berdarah kaki dan kepala dikerjakan golongan ingkar, setiap duka dan nestapa terhadap kedegilan kaum yang ditelan dengan keikhlasan, setiap caci maki dan keji perli, yang dilemparkan tanpa asas yang dibalas dengan kebaikan… semuanya kerana cinta, kepada kita; kemanusiaan.
Adakah wajar cinta seluas ini dibataskan perkataan ciptaan insan?
Implikasi Pemilihan Perkataan
Perkataan yang kita pilih menggambarkan bagaimana kita menanggapi sesuatu termasuk seseorang. Tanggapan kita pula membentuk cara pandang dan bagaimana kita berinteraksi dalam setiap urusan.
Kita sudah dan sedang melihat kehancuran yang terhasil dari pemujaan terhadap ‘idola’ dan ‘ikon’.
Perhatikan tidak ada perkataan ‘berlebihan’ selepas ‘pemujaan’ kerana sebarang peringkat pemujaan, (sikit atau banyak, kurang atau lebih) tetap tidak sihat dan merupakan bom jangka yang bila-bila masa akan meletup dan memusnahkan kemasyarakatan.
Sudah banyak tulisan sebelum ini menyinggung soal ini, namun jika masih belum jelas, kita tangguhkan saja pada waktu akan datang.
Oleh yang demikian, bagi memastikan kita sentiasa pada jalan yang lurus, berusahalah memahami sesuatu lebih dari sekadar ikut-ikutan.
Denai Cinta ; Perjalanan Mencari Kebenaran Yang Dituntun Cinta Para Keteladanan
Saya telah mengemukakan empat orang Sayyidah melalui karya terbaru, Denai Cinta. Sayyidah Maryam, Asiyah, Khadijah dan Fatimah ʿalaihinna assalām.
Mereka adalah keteladanan yang sejati dan diungkap dengan nyata oleh sabda baginda sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam yang mulia.
Ada sebab yang sangat panjang mengapa dan bagaimana Denai Cinta terlahir, sesuatu yang sangat dekat di jiwa.
Namun begitu, seringkali apabila menyebut nama mereka, orang gemar menyandarkannya kepada status ‘srikandi’.
I beg to differ juga, kerana ‘srikandi’ hanya membawa definisi :
1. isteri Arjuna yg gagah berani; 2. wanita yg gagah berani, pahlawan wanita. (Rujuk PRPM)
Sedangkan keteladanan yang dikemukakan melalui peribadi Sayyidah Maryam, Asiyah, Khadijah dan Fatimah ʿalaihinna assalām jauh melangkaui keberanian di medan tempur yang tidak semestinya cocok buat seorang perempuan.
Boleh saja ia dianggap sebagai sebuah perlambangan kepahlawanan mereka, namun kita sewajarnya tegas mengisi makna keteladanan sebelum membuka ruang tambahan yang menyokong dari tepian.
Seorang ‘srikandi’ barangkali hebat pada keberanian, mungkin pada kemahiran berkuda atau bermain pedang, maka manfaatnya hanyalah pada diri dan perjuangannya saja. Tidak semua orang mahu atau mampu menjadi ‘srikandi’.
Tetapi semua orang mahu dan mampu jadi yang terbaik sebagai seorang manusia; lelaki ataupun perempuan, sebagaimana seorang ‘suri teladan’ menjalani kehidupan dan menunjukkan panduan.
Menyambut Rabi’ul Awwal – Bulan Cinta
Oleh itu, mengalu-alukan kedatangan bulan cinta, marilah kita bermuhasabah semula tentang bagaimana kita memposisikan individu-individu penting dalam rutin seharian.
Hashtag #youarewhoyouchoosetofollow tidak direka secara suka-suka. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap insan berhajat kepada contoh ikutan, yang akan menjadi sumber inspirasi, rujukan dalam setiap perkara.
Justeru, kembalilah menyusuri hayat baginda Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam dengan sebenar-benar maksud, dari pelbagai sudut.
Ketahuilah bahawa tidak ada satu sahaja sorot pandang terhadap setiap peristiwa, maka tugas kita ialah mencari ulasan dan penjelasan dari pelbagai pihak, termasuk dari golongan yang terlihat berbeza.
Mari maknai kehidupan selaku hamba Tuhan di ranah duniawi dengan acuan ‘keteladan’ yang sempurna.
Berhentilah berlegar-legar di sekitar tugu yang kaku setakat ‘idola’ mahupun ‘ikon’ yang bersifat sementara dan tersembunyi cela.
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ مُتَشَاكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا ۚ الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (29)
Terj: Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).
[Surah Az-Zumar]
P/s : Sekarang, boleh hentikan juga menabur perkataan ‘idola’ dan ‘ikon’ merata-rata, tak kira siapa, di mana atau apa?
Allāḥumma ṣalli ʿalā sayyidina Muhammad
Waʿala āli sayyidina Muhammad