
Prolog
Ketika saya memutuskan kembali ke tanah air dan menyambung pengajian dalam bidang Al-Qur’an dan As-Sunnah, saya tidak pernah membayangkan bahawa apa yang saya akan temui pada jalan tersebut terlalu berbeza daripada apa yang kelihatan dari luar.
Semakin jauh saya melangkah, semakin saya mengenali rentak permainannya yang tak terlepas dari anasir-anasir kotor dan cemar.
Begitulah, manusia sentiasa diuji kiri dan kanan, digoda Iblis dan syaitan, terutamanya dalam dunia yang menjadikan firman Tuhan dan sabda Rasul sebagai subjek utama yang dibawa belajar.
Pengalaman first hand ini telah menjadikan saya sedar.
Bahawa kejayaan musuh pada hari ini dalam membuat kita buta, terletak pada pemisahan keilmuan yang sedikit demi sedikit, menjadikan seseorang taksub dan ingkar.
Keberagaman dalam ke-beragama-an
Mutakhir ini, kita dapati orang semakin tertarik kepada sesuatu atau seseorang yang membawa imej beragama. Dalam masa yang sama, pada polar yang bertentangan, kita dapati juga ada golongan yang mempersenda dan memperleceh urusan-urusan agama.
Ada yang telah menempa kemasyhuran kemudian meninggalkan dunia glamor lalu berkongsi hidayah dengan para peminat.
Ada yang kaya raya jutawan milionair kemudian menyedekahkan begitu banyak hartanya kepada mereka yang memerlukan.
Pada waktu yang sama,
Ada yang mengaku menghafal Al-Qur’an lalu bangga mempertayang gaya hidup bebas berkiblat nafsu dan haloba.
Ada yang berpangkat ustaz, pendakwah, tetapi dituduh menipu, rasuah, perbuatan sumbang dan mencabul kehormatan.
Dan terlalu banyak lagi insiden-insiden yang jika kita hendak senaraikan, kita boleh buka buku dosa mengumpat orang situ sini pula.
Persoalannya di sini bukan siapa buat salah apa, atau siapa buat baik apa.
Tetapi bagaimana apa yang berlaku di sekitar kita harus menjadi cermin terhadap diri sendiri dan kefahaman kita dalam beragama.
Ada banyak ragam manusia di dunia. Keberagaman yang banyak ini sudah tentu akan menyebabkan keberagamaan masing-masing juga berbeza.
Lalu, wajarkah kita hanya menurut sahaja sebarang orang yang ada dalam urusan kita beragama?
Apabila ada yang menutup aurat berbuat maksiat, adakah kita mahu mengatakan bahawa perbuatan menutup aurat itu tidak berguna?
Apabila ada yang menghafaz Al-Qur’an berbuat khianat, melanggar batas percampuran lelaki perempuan, adakah kita mahu membakulsampahkan hafazan Al-Qur’an sebagai sesuatu yang sia-sia?
Dalam dunia yang dipenuhi kekeliruan, kita harus sabar dan mengambil masa untuk menilai dan merenungkan dengan bijaksana. Jangan cari salah orang, carilah siapa diri kita.
Sebab seseorang yang mengenali dirinya, akan mengenali Pencipta. Lalu, dia akan mengenali perintah dan larangan, hakikat dan syariat, fiqh dan tauhid, falsafah dan kalam, sejarah dan kemanusiaan, jiwa dan raga.
Pilihan dalam Beragama
Sewaktu belajar di kolej, saya pernah diajak berbual oleh seorang guru berbangsa India yang beragama Hindu. Barangkali beliau anggap saya tahu banyak tentang agama saya sendiri dari penampilan luaran, lalu beliau mahu mengajukan beberapa pertanyaan.
Pertanyaan klimaks beliau adalah, apa beza agama Islam dan agama Hindu? Kata beliau, mereka juga percaya bahawa Tuhan itu Satu. Segala patung yang ada di kuil hanyalah perantaraan untuk mereka yang masih lemah iman. Semakin meningkat iman, mereka tak perlukan lagi dewa-dewa sembahan untuk faham bahawa Tuhan itu tak kelihatan.
Saya pun tak ingat saya jawab apa pada beliau. Saya juga tak rasa saya berikan jawapan yang memuaskan hati untuk beliau.
Sebab saya pada ketika itu juga sedang melalui pertarungan dahsyat dalam diri yang tak dapat dikongsikan dengan sesiapa. Peristiwa tersebut hanya berlalu begitu sahaja, tanpa saya mencermati persoalan-persoalan yang beliau kemukakan. Urusan dalaman peribadi membuat saya menutup mata terhadap masalah-masalah luaran yang berlaku di persekitaran.
Walhal, di situlah punca kekusutan.
Kadang-kadang, apabila kita tak jumpa petunjuk daripada diri sendiri, kita boleh juga mendapatkan klu dari keadaan sekeliling.
You Do You
Sekarang, ramai orang sudah mula beri perhatian terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi yang dulu mungkin tidak dibincangkan sangat.
Sewaktu masih hingusan saya pernah bertanya, kenapa cuma ada MC untuk orang demam dan sakit fizikal, kalau tengah sedih kemurungan tak boleh ke dapat MC juga?
Saya fikir soalan berkenaan sudah diuruskan oleh ramai pihak sekarang.
Lalu, kita mulai biasa dengan kata-kata ‘motivasi’ seperti, “be yourself”, “do whatever you like”, “listen to your inner voice”, “follow your dreams”, “you do you” etc tetapi dengan satu ‘arterisk’ di hujung jika ia datang dari seseorang yang beragama Islam, that is, “asalkan tak melanggar syariat.”
Be yourself, selagi tak melanggar syariat.
You do you, asalkan tak langgar syariat.
Akhirnya muncullah para penari bertudung bergelek, para pemuda berkopiah menyanyi tangkap jiwang, para pelumba motosikal lasak berniqab, para gangster warak dan seterus-seterusnya yang tak mampu kita bayangkan.
Sebab kita hanya fokus tentang diri sendiri – pada ego dan keakuan.
Bagaimana kita tahu syariat itu dilanggar atau tidak, jika kita hanya beri perhatian kepada membesarkan diri sendiri dan kemahuan?
Pertanggungjawaban Terhadap Pilihan Dalam Beragama
Muharram ini, permulaan kepada satu tahun Hijrah yang baru. Seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini, kehidupan adalah senarai pilihan yang akan dipertanggungjawabkan.
Begitulah juga pilihan kita dalam beragama, di tengah-tengah keberagaman ke-beragama-an yang ada di hujung zaman. Kita harus lebih-lebih bersyukur jika kita adalah orang kebanyakan, kerana kita berpeluang untuk dengar dari pelbagai pihak dari variasi latar belakang.
Buka telinga luas-luas dan pandang dengan keadilan.
Fahami pilihan kita sendiri dalam menjalani kehidupan berTuhan.
Jangan rasa selamat dengan apa yang ditetapkan oleh elitis atasan, merangkumi badan berautoriti atau organisasi pemerintahan. Barang diingat, setiap badan dan organisasi juga terdiri daripada manusia yang terdedah kepada hasutan syaitan, tipu daya Iblis, pengaruh nafsu hayawan, kepentingan duniawi dan perangkap wahan.
Kita tidak mungkin dapat meloloskan diri dari pertanggungjawaban di Akhirat kelak dengan jawapan semalas,
“Tapi ustazah tu kata boleh pakai macam ni.”
“Tapi ustaz tu kata boleh beli rumah macam ni.”
“Tapi syeikh tu kata boleh makan ni”
“Tapi ulamak tu kata boleh buat kerja macam ni”
.. dalam keadaan kita sendiri tidak pernah pun memikirkan hujah atau dalil yang mereka kemukakan.
Menurut sahaja bersama keengganan merenung sebab kita sendiri sibuk mengejar keduniaan.
Sedangkan kita semua dikurniakan aqal dan pertimbangan yang layak dimanfaatkan untuk menilai keputusan diri sendiri dalam setiap pilihan beragama yang kita ambil sebagai prinsip dan pegangan.
Maka, jangan ambil ringan.
Bayangkan seseorang bertanya, “Bagaimana awak pasti bahawa agama awak lah yang paling benar?”, apa yang kita akan jawab?
Dan orang ini tidak akan boleh tunggu lama. Dia cuma mahu persoalannya diselesaikan dalam satu baris ayat sahaja.
What then, will you say?
Epilog
Saya masih ingat tahun pertama saya menitipkan artikel Pertanggungjawaban Pilihan dan ia jadi sesuatu yang dihargai, mungkin sebab saya sudah terlalu lama mendiamkan diri. Sejak itu, saya mewajibkan bahawa pada setiap Muharram, saya harus hadirkan satu tulisan yang didedikasikan khusus untuk bulan suci ummat Islam.
Terutamanya untuk 10 Muharram yang sudah dilupakan.
Untuk darah yang telah syahid dan terkorban demi menegakkan kebenaran.
Demi keadilan kepada ‘itrah An-Nabiy yang telah dizalimi dan diperlakukan dengan kejam.
Sesungguhnya perjuangan baginda Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam telah cuba dikhianati dari dalam, tetapi melalui pengorbanan karavan Imam Husain ‘alaihissalam, Tuhan telah menyelamatkan risalah kebenaran.
Sewaktu di tingkatan 1, saya pertama kali mendengar hadis yang bermaksud: “Aku tinggalkan kalian dengan dua perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepadanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi.“
Masih jelas tergambar emosi yang saya alami pada ketika itu. Lega, terkejut, syukur, gembira, sebab akhirnya saya yakin saya berada pada jalan yang betul dengan menuruti kehendak orang tua yang mahu saya bersekolah di maahad, meskipun saya sendiri mahu menerima tawaran ke sekolah sains berasrama penuh.
Dengan pegangan tersebut, saya mendapat kekuatan untuk mengkhatamkan pelajaran demi pelajaran, sukatan demi sukatan.
Saya fikir hanya dua perkara yang perlu diseimbangkan; sains dan agama, barulah kita akan memperoleh kejayaan yang berkekalan.
Tetapi saya silap.
Sepuluh tahun kemudian, saya mendengar hadis yang sama, tetapi dengan sedikit perbezaan.
Namun perbezaan yang sedikit itu telah memberi kesan yang sangat besar kepada bagaimana saya mencari keseimbangan.
Bahawa, baginda Rasul telah berpesan,
Aku tinggalkan kepada kalian dengan sesuatu yang jika kalian berpegang kepadanya, kalian tidak akan sesat. Salah satunya lebih besar dari yang satu lagi. Kitab Allah, tali yang bersambung dari langit ke Bumi. Dan itrahku, ahli baytku (keturunanku, ahli keluargaku.) Tidak akan berpisah kedua-duanya sehingga bertemuku semula di telaga Al-Hawd, maka perhatikanlah bagaimana kalian memperlakukan kedua-duanya selepasku (wafat).
Saya tidak tahu apa yang orang lain fikir sebab setiap kali saya kongsikan pesanan baginda ini, tiada siapa yang menunjukkan respons memberangsangkan.
Empat tahun menggulati bidang Al-Qur’an dan As-Sunnah di institusi pengajian tinggi, saya kini tahu apa yang membentuk budaya dan sikapnya, pengisian dan pemikirannya, akhlak dan etikanya.
Saya tidak pernah menyesali keputusan pulang yang telah memeranjatkan semua orang, kerana saya akhirnya faham, bahawa kita dilahirkan ke dunia ini bukan sekadar untuk “mengejar impian”.
Tetapi untuk mengenali kebenaran.
Sudahkah rakan-rakan punya jawapan, jika orang bertanya, bagaimana anda tahu jika kebenaran yang anda pegang adalah kebenaran?
“Telah kudapati diri ini sedang memilih antara syurga dan neraka. Sungguh aku akan tetap memilih syurga meskipun jasadku dikerat dan dibakar..”
– Al-Hurr Ibn Yazid Ar-Riyahi
23:105
أَلَمْ تَكُنْ ءَايَـٰتِى تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فَكُنتُم بِهَا تُكَذِّبُونَ ١٠٥
˹It will be said,˺ “Were My revelations not recited to you, but you used to deny them?”
23:106
قَالُوا۟ رَبَّنَا غَلَبَتْ عَلَيْنَا شِقْوَتُنَا وَكُنَّا قَوْمًۭا ضَآلِّينَ ١٠٦
They will say, “Our Lord, our wretchedness overcame us, and we were a people astray.
23:107
رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا مِنْهَا فَإِنْ عُدْنَا فَإِنَّا ظَـٰلِمُونَ ١٠٧
Our Lord! Take us out of this ˹Fire˺. Then if we ever return ˹to denial˺, we will truly be wrongdoers.”
23:108
قَالَ ٱخْسَـُٔوا۟ فِيهَا وَلَا تُكَلِّمُونِ ١٠٨
He will say, “Remain despised therein and do not speak to Me.