
Prolog
Banyak orang bertanya, tidak kurang juga mempersoalkan, “kenapa tak gunakan pengaruh dan nama yang ada untuk memanggil orang kepada kebaikan? itu kan kelebihan yang Allah beri, mensia-siakan kelebihan yang Dia beri kan kufur nikmat?” atau yang lebih sering, “kenapa sentiasa di belakang tabir, tak tunjuk muka, tak muncul di ruang-ruang terbuka, seperti buat video live, wawancara, forum dan sewaktu dengannya..?”
Tulisan panjang kali ini, adalah dedikasi untuk sepotong bagian dari pilihan yang sudah tiba masanya untuk dikongsikan.
Influencer/Pempengaruh; Anugerah atau Musibah?
Dewasa ini, semakin ramai anak muda tanpa mengira latar belakang, jantina dan usia berlumba-lumba menonjolkan diri di media sosial. Yang cantik dengan kecantikannya, yang pandai menyanyi dengan nyanyiannya. Yang merdu mengalunkan ayat suci dengan alunannya. Yang petah memberi tazkirah dengan tazkirahnya. Pelbagai bentuk kemahiran, informasi, cerita dan kisah dipersembahkan hari demi hari, detik demi detik, yang menjadikan diri dikenali dan diikuti.
Ada yang melihat ini sebagai kelebihan jika digunakan pada jalan yang betul. Misalnya pada jalan dakwah. Bukankah pahala berganda buat mereka yang menyebarkan walau sepotong ayat?
Namun tidak ramai yang betul-betul memeriksa, sejauh mana kita sendiri pasti bahawa jalan menonjolkan diri yang kita pilih itu sebagai jalan yang betul? Seyakin mana sanggup kita pertahankan pilihan tersebut di Akhirat kelak di hadapan Allah SWT- bahawa apa yang kita lakukan itu semata-mata demi redhaNya dan telah diperiksa dalam-dalam bahawa itulah jalan yang terbaik untuk dilalui?
Seorang pempengaruh dikatakan berperanan untuk mempengaruhi para pengikutnya menuju sesuatu. Ramai menganggap, jika pempengaruh mengajak kepada kebaikan, dia akan menerima ganjaran di atas semua kebaikan yang orang lain lakukan kerana terpengaruh dengannya. Begitulah juga sebaliknya.
Tetapi agama telah mengingatkan bahawa kiraannya tidak akan semudah itu. Banyak faktor tak terlihat, seperti keadaan hati dan kehadiran jiwa hamba semasa melakukan sesuatu kebaikan, kesan dan implikasi jangka panjang yang sering diambil mudah, juga niat dan tujuan yang kadang-kadang hanya diketahui oleh Allah SWT. Bahkan kita sendiri pun seringkali terbabas dalam mentafsir niat di hati sendiri.
Jangan kelirukan diri dengan alasan tanggungjawab “Amar Ma’ruf Nahi Munkar” (Mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari keburukan) yang digalas oleh setiap individu. Jangan juga menyamar di sebalik perintah dari Surah Al-‘Asr, “berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Kedua-dua urusan ini berjalan sepanjang masa, tanpa mengira jawatan dan status, tidak berhajat kepada populariti dan gimik-gimik gedik di media sosial. Akan tetapi, kedua-dua urusan ini berhajat kepada ilmu yang dicari dengan tulus, memerlukan kesedaran dari pandangan hati yang celik, dan melaksanakannya akan membuat insan semakin tidak berkehendak kepada perhatian manusiawi.
Maka, kesibukan menguruskan dua perkara ini : (i) Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar, dan (ii) Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, akhirnya akan membuahkan kefahaman bahawa permainan-permainan media sosial pada era ini adalah tawaran terancang agar tersasar dari matlamat asal.
‘Iffah – Suci Kehormatan yang Kian Terhakis
Setiap insan dimahkotakan oleh Ilahi dengan kebebasan membuat pilihan saat dilahirkan ke dunia. Kita adalah hamba yang merdeka. Hamba kepada sebaik-baik Tuan yang mentadbir sekalian semesta. Betapa pengasihnya Tuan ini, Dia tidak meninggalkan kita tanpa petunjuk untuk mengemudi laluan di medan penuh pancaroba.
Jika kita mengenali petunjuk yang Dia berikan, kita akan berjaya mempertahan kemuliaan suci yang memang milik seorang manusia. Tetapi jika kita gagal, kita akan terjatuh dalam perangkap nafsu dan kehendak yang dipergunakan oleh syaitan; merasa diri merdeka dan bebas melakukan apa sahaja, sedangkan tindakan dan pilihan kita dirantai kebatilan yang memperdaya.
Atas alasan menyantuni generasi muda, para usahawan, agamawan, ilmuwan, cendekiawan dan tokoh masyarakat melondehkan banyak tabir yang seharusnya dijaga dalam memelihara kehormatan seorang insan.
Sedangkan mereka yang dipandang tinggi sepatutnya menunjukkan contoh bagaimana untuk tidak kompromi kehormatan yang suci dalam mengemudi keberadaan di atas talian.
Seharusnya ada yang berperanan untuk menunjuk jalan, misalnya bagaimana untuk berniaga dan melakukan pemasaran, tanpa perlu mendedahkan paparan-paparan peribadi yang seharusnya terjaga dalam ruang privasi tanpa perlu ditunjukkan kepada awam.
Ini bukan soal pilihan individu yang setakat malu-malu kucing, gagap bercakap di hadapan kamera atau tidak ada keyakinan diri dan ‘introvert’ semata-mata. Ini soal yang lebih besar; kesedaran yang membentuk fabrik sosial masyarakat yang mahu hidup beragama.
Maka, tidak timbul soal ‘kufur nikmat’. Jika mahu bercakap tentang nikmat, kenapa Nabi Yusuf ‘alaihissalam tidak memanfaatkan sahaja ‘nikmat’ ketampanan baginda untuk menyeru manusia kepada Tuhan? Kenapa Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam tidak memanfaatkan sahaja nikmat ‘pangkat’ dan ‘kedudukan’ yang ditawarkan oleh para kafir Quraisy dan menamatkan semua penyiksaan yang sedang dipaksakan ke atas orang Islam?
Demi kehidupan yang tegak di atas kemuliaan, seperti mana yang telah diteladankan oleh para insan sempurna, mana mungkin kehormatan suci yang diminta sebagai kolateral ini diserahkan?
Petunjuk Sepanjang Jalan & Zaman
Siapakah sebaik-baik insan yang diciptakan oleh Allah SWT dan wajib menjadi ikutan kepada setiap orang yang mahu meraih keredhaanNya?
Kita semua pasti dapat bersetuju dengan satu nama sahaja, bukan?
Ada sesiapa pada hari ini yang mengetahui wajahnya, mendengar suaranya, melihat sosok tubuhnya, menyentuh dirinya?
Tidak ada, bukan? (Mengecualikan mereka-mereka yang terpilih melihat dalam mimpi dan sewaktu dengannya)
Adakah ia menggugurkan kedudukan baginda sebagai Utusan Ilahi yang menjadi petunjuk kepada jalan yang lurus?
Tidak sekali-kali.
Sebab hakikatnya insan tidak memerlukan pandangan fizikal untuk mengenali mana baik mana buruk.
Maka, pilihan untuk bergerak dengan cara ini bukanlah sesuatu yang istimewa atau layak dikagumi. Tidak ada yang istimewa pada sesuatu yang terlalu asasi. Seperti seorang muslim yang menjaga solat lima waktu sehari semalam atau berpuasa di bulan Ramadhan. Itu perkara asas sahaja. Tanpa menafikan bahawa tidak mudah untuk mempertahankan hatta yang paling asas sekali pun pada zaman ini, kita harus meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Sebab begitulah yang kita belajar daripada Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam sendiri, dan juga wanita-wanita mulia di sekeliling baginda seperti Sayyidah Khadijah dan Sayyidah Fatimah ‘alaihassalam. Mereka tidak pernah tonjolkan diri masing-masing, tidak pernah menceritakan kebaikan yang mereka buat, tidak pernah menunjuk-nunjuk kecantikan dan kelebihan yang mereka ada. Siapa kita untuk berbangga-bangga dengan diri sendiri, sedangkan sebaik-baik insan yang sempurna pun tidak pernah berbuat demikian?
Epilog
Ada satu sebab yang pernah membarisi senarai sebab untuk mengambil sehingga 20 mata pelajaran dalam Sijil Peperiksaan Malaysia 13 tahun lampau. Sebab yang kini terdedah sisi rapuh dan naif yang tidak dikhabarkan oleh sesiapa sebelumnya. Bahawa kejayaan menempa nama akan dapat dijadikan batu loncatan untuk menyeru kepada kebaikan dan kebenaran.
Lalu Tuhan yang Maha Baik telah mendidik, bahawa bukan itu yang Dia mahukan. Tuhan tidak pernah membebankan insan untuk mengangkat diri sebagai teladan, tetapi Dialah yang menetapkan siapa yang menjadi pilihan.
Dan tugas kita, hanyalah menerima dengan sepenuh-penuh kepercayaan. Menjalaninya dengan penuh perhatian dan penghayatan.
Menelusuri jalan yang ditunjukkan oleh insan-insan pilihan ini, mengenali yang mana satu langkah mereka, yang mana satu inovasi atau fitnah yang diada-adakan oleh para pendengki yang cuba mengelabui garisan putih dan hitam.
Dan perjalanan ini bukanlah perjalanan senang.
Pada zaman yang terlalu berselirat dan berkecamuk, cabaran untuk mengenalpasti denai keteladanan semakin beraneka ragam. Apatah lagi untuk ikut melewati jalan kebenaran yang bukan sekadar sangkaan.
Tapi ia tidak bermaksud kemustahilan.
Itulah namanya perjuangan.
Nilailah semula semua yang sedang dipegang. Dapatkan kembali hikmah yang hilang. Periksalah balik pilihan kepercayaan yang bakal menentukan nasib di hari kemudian.
Pada akhirnya..
“Debu-debu telah berterbangan ke atas jasad, kini yakinlah ia akan peringatan kematian yang pernah datang. Beratnya dada; kini ia hanyalah sesuatu yang dikenang.”
فَمَا زَالَت تِّلْكَ دَعْوَاهُمْ حَتَّىٰ جَعَلْنَاهُمْ حَصِيدًا خَامِدِينَ (15) وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ (16) لَوْ أَرَدْنَا أَن نَّتَّخِذَ لَهْوًا لَّاتَّخَذْنَاهُ مِن لَّدُنَّا إِن كُنَّا فَاعِلِينَ (17) بَلْ نَقْذِفُ بِالْحَقِّ عَلَى الْبَاطِلِ فَيَدْمَغُهُ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ ۚ وَلَكُمُ الْوَيْلُ مِمَّا تَصِفُونَ (18)
Maka demikianlah seterusnya jeritan dan keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka hancur lebur dan sunyi-sepi. (15)Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.(16) Sekiranya Kami hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya dari sisi Kami; Kami tidak melakukannya.(17)Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (kepada kami).(18)
Untuk gambaran yang lebih menyeluruh, jemput baca tulisan sebelum ini:
1- Pertanggungjawaban Pilihan 1 : https://niknurmadihah.dukkanmaya.com/pertanggungjawaban-pilihan
2- Pertanggungjawaban Pilihan 2 : https://niknurmadihah.dukkanmaya.com/pertanggungjawaban-pilihan-2/