
SEBULAN YANG BERWARNA-WARNI
Saya menulis kenyataan panjang pada awal bulan ini setelah usai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Kenyataan yang eventually disalahguna dan dimanipulasi oleh pelbagai portal untuk meningkatkan engagement di halaman masing-masing.
Sejurus selepas saya selesai membuat hantaran berkenaan di FB peribadi, takdir Ilahi menetapkan saya diserang demam panas yang sangat teruk.
Sakit seluruh tubuh, hilang selera makan, selsema dan batuk hingga dijangkiti ulcer di tonsil pula.
Ia berterusan untuk tempoh yang relatively panjang. Pada waktu yang sama saya dikejutkan dengan kemunculan tulisan saya di portal-portal gosip, media outlets yang tidak pernah saya beri izin.
Saya tahu saya perlu buat keputusan pantas.
Jadi saya ambil langkah untuk deactivate dan ‘hapuskan’ tulisan berkenaan dari FB sendiri.
Tapi saya telah membaca semua komen dan ucapan dari rakan-rakan yang memang mengenali saya dari sekolah sehingga sekarang di entri berkenaan. Terima kasih atas kata-kata baik dari kalian.
Penghargaan teristimewa untuk tunang yang sekarang sudah pun selamat menjadi suami, adik-adik dan seisi keluarga yang sentiasa memahami dan membantu menjadi kaki dan tangan saya, pada saat-saat genting sedemikian.
Di ambang Aidiladha, akad nikah kami berlangsung sederhana dan tertutup. Malam hari Arafah. Malam yang penuh barakah.
Maka seperti yang saya janjikan, saya akan terus mengangkat pena untuk memperjuangkan Kebenaran.
Tidak ada kecaman, kutukan, cacian yang dapat mematahkan seorang perempuan yang telah menelan pelbagai jenis kepahitan yang tak dapat sesiapa bayangkan.
Have i not said previously? You cannot break a (wo)man whose heart is kept safe with God.
Hari ini, setelah banyak hal mulai reda, saya mahu memulakan kembali apa yang telah saya letakkan jeda.
PERTAMA, saya tidak menyesali tulisan berkenaan. Pilihan menghapuskannya dari FB saya juga adalah satu keputusan yang dibuat dengan sepenuh kesedaran.
Saya mahu MAKE A STATEMENT bahawa saya tidak pernah teragak-agak untuk bertegas dalam soal prinsip yang saya pegang.
Mereka yang mengenali saya tahu betapa saya tidak pernah berkompromi dalam hal ini:
KEBENARAN TIDAK BOLEH BERCAMPUR DENGAN KEBATILAN.
Oleh yang demikian, pada saat tulisan saya dicuri oleh para pengamal media, saya tahu itu petanda bahawa saya perlu ‘korbankan’ tulisan yang telah dimanfaatkan oleh sebahagian besar orang lain.
Saya punya pengalaman yang panjang (sangat panjang) dengan dunia mass communication ini.
Jika anda pernah membaca tulisan pertama saya yang berjudul ‘Pertanggungjawaban Pilihan’, anda mungkin ingat bagaimana saya telah menolak untuk ditemuramah mahupun diambilgambar oleh wartawan semasa majlis konvokesyen di UIA.
(Tulisan berkenaan masih boleh dibaca di laman web rasmi saya. Boleh rujuk pautan di SINI. Sebahagiannya telah saya terbitkan dalam buku #NoktahTerjahit.)
Namun, ada satu perkara sahaja saya mahu nyatakan kepada rakan-rakan pengamal media sekalian: Berhentilah mengundang.
Tak perlu cuba-cuba lagi. Saya tidak berminat untuk muncul di mana-mana media awam (majalah, suratkhabar, tabloid, podcast and the likes) tanpa tujuan yang berhak.
“Dari kefahaman yang Tuhan anugerahkan selepas pengalaman demi pengalaman di bawah sorot lampu media, saya belajar bahawa sebaik-baik pilihan bagi seorang perempuan di akhir zaman, adalah menjauhkan diri dari menjadi tumpuan khalayak awam.”
– Ini petikan dari tulisan lama.
Saya telah belajar bahawa ‘dakwah’ yang dilaksanakan tanpa proses pemikiran kritis pada banyak ketika hanya akan mengundang bencana dan fitnah kepada agama.
“Saya telah memilih untuk tidak lagi ditemubual oleh mana-mana media. Sebab saya mahu kalau pun ada secubit kebaikan dari sebarang perkongsian tentang perjalanan saya, biarlah datang dari saya sendiri.
Sebab itu saya menulis di laman web rasmi sendiri yang diberi nama ‘Noktah Terjahit’, memilih untuk menerbitkan buku yang mengumpulkan hasil penulisan dari laman tersebut, dan membuka ruang pertemuan apabila terdapat ketelusan dan ketulusan.
Saya tidak mencatatkan diari peribadi di dalam buku ‘Noktah Terjahit’, kerana saya percaya apa yang wajar dikongsi hanyalah pelajaran dan refleksi yang telah saya perolehi.”
– Ini kenyataan yang saya keluarkan enam tahun lampau.
Pendirian saya masih sama. Teguh dan tidak berubah. Tidak akan goyah.
ADAKAH SAYA MAHU MEMBERI JAWAPAN BALAS UNTUK MEMBELA DIRI?
Aneh bagaimana dari tulisan yang bersifat refleksi berkenaan, merebak dan menjemput ulasan-ulasan yang terlalu di luar konteks dan tidak berfaedah.
Saya maklum sahaja terhadap apa yang dipertikaikan. Malah ada pula sebahagian aktivis politik yang mengaitkan keputusan pengajian saya dengan kemiskinan. (Did you even read what i wrote?)
Tetapi saya tidak berminat untuk membalas mana-mana ulasan yang dibuat, positif mahupun negatif.
Saya masih berada di sini kerana saya percaya ini adalah jalan yang Allah mahukan untuk saya – berkongsi hikmah dengan mereka yang mahu mendapatkannya.
Saya tidak menulis demi mencapai status karya bestseller, tidak berkongsi di lapangan agar dilihat sebagai manusia yang menyumbang, tidak muncul di mana-mana platform untuk menonjolkan diri lebih baik dari sesiapa.
Jika anda gagal menemukan apa-apa yang bermanfaat dari tulisan-tulisan saya, yakinlah bahawa ia bukan untuk anda.
Move on dan carilah hal lain yang lebih konstruktif untuk diri anda, jangan buang masa.
Anda tidak akan membazirkan tenaga saya, sebaliknya merugikan diri sendiri sahaja. Trust me, i have no interest in winning. Go ahead, and do whatever you think is good for you.
BERLEPAS DIRI DARI PUJIAN MELAMPAU OLEH MEREKA YANG TIDAK PERNAH MENGENALI
Ini satu perkara mustahak yang perlu saya tegaskan buat kesekian kali.
Mereka yang mengecam tanpa asas, mengucapkan hal-hal negatif dan toksik, itu jelas salah.
Tetapi terdapat juga golongan yang memuji-muji saya tanpa pernah mengenali saya secara peribadi, mengangkat-angkat diri saya sebagai tokoh IDOLA seolah-olah yakin bahawa kedudukan saya terjamin di sisi Ilahi, juga adalah satu bentuk kesalahan yang telah banyak kali saya tegur dan betulkan.
Oleh itu, saya berlepas diri dari semuanya.
Jika anda memang membaca tulisan saya, pernah bertemu saya, bersembang dengan saya bersemuka, anda pasti punya gambaran sikap saya bagaimana.
Anda akan tahu apa yang saya endorse dan sebaliknya.
Tetapi jika anda tidak pernah ada pengalaman peribadi dengan saya, memuja-muji tanpa asas yang nyata, anda sendirilah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang anda kata dan dakwa.
Implikasi dari kata-kata anda hanya diketahui oleh Yang Maha Esa. Saya sendiri tidak berani menjangkaukan kesannya kepada masyarakat yang membaca.
WAY FORWARD
Tulisan yang bertajuk “20 A: Sorotan Selepas 12 tahun (2008-2024)” berkenaan akan disusun semula dan akan saya release dalam waktu yang terdekat, in syaa Allah.
Boleh nantikan pengumuman lanjut dari DukkanMaya
Mereka katakan, saya menulis di FB dan setting saya ‘public’, maka ia boleh dikongsikan secara bebas oleh sesiapa pun.
Hm, siapa yang menafikan hal tersebut?
Saya memang jelas daripada awal mengapa saya karang entri berkenaan dan pilih untuk kongsi dengan umum.
Bersedia untuk ia dikongsi oleh semua secara berhemah. Tekanlah butang share tu jika mahu. Bahkan boleh copy link dan paste di mana sahaja yang perlu.
Asalkan ia disebarkan secara berintegriti.
Yang menjadi masalah adalah, apabila ia dicuri dan diterbitkan semula di medium-medium lain tanpa kebenaran saya.
Hanya kerana seseorang menuliskan sesuatu di media sosial dan membuat paparan ‘public’, itu bukan lesen untuk anda screenshot dan terbitkan di tempat masing-masing. Bukan juga lampu hijau untuk anda paraphrase, highlight bahagian-bahagian tertentu dan hasilkan story anda sendiri.
Itu jelas-jelas melanggar hak orang lain.
Apatah lagi tulisan saya yang memang bersifat spesifik dan bertujuan. You cannot reshuffle my sentences. Jika ia disalahatur, ia akan menatijahkan konklusi yang tidak sama dengan apa yang asalnya mahu saya sampaikan.
Sebab itu saya tekankan bahawa, perlunya ia dikongsi “as it is” dan saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang saya tulis.
Saya tahu perkara ini tidak dinyatakan dengan jelas under any act or regulation. So what? Sekalipun peraturan dunia mengatakan bahawa ia tidak bermasalah, saya tak peduli.
Kompas moraliti saya ditentukan oleh wahyu yang dikurniakan Ilahi.
Dan berdasarkan kefahaman saya, tindakan berkenaan adalah bertentangan dengan akhlak yang diajarkan oleh Al-Qur’an dan sebaik-baik Rasul utusan Tuhan.
Jika anda bertegas juga mahu katakan bahawa tulisan saya itu bersifat public property, then get ready for yours to be used by others as well.
Jangan marah kalau tiba-tiba nampak wajah anda atau postings anda terpampang di billboard tepi highway sebagai iklan yang tak pernah anda izinkan.
Atau paling kurang, jangan marah juga kalau gambar-gambar anda dan keluarga yang diletakkan di FB masing-masing, dimuat turun oleh seseorang lalu disalahguna untuk niat yang khianat.
But then, it is okay.
Saya tidak mahu bertekak dan menuding jari siapa betul siapa salah. Biarlah saya ambil apa yang telah berlaku sebagai petunjuk yang menyampaikan ibrah.
Semoga apa yang terjadi kepada saya menjadi pengajaran juga untuk semua.
Semoga ia jadi peringatan kepada rakan-rakan yang lain, bahawa media sosial ini tetap bukan kita yang mengawalnya meskipun akaunnya adalah nama kita termasuk konten yang kita bina.
PENUTUP
Saya bersyukur atas setiap yang telah berlaku.
Alhamdulillah untuk pengalaman yang telah membantu saya menjadi lebih jelas melihat dunia; mengenal siapa kawan, siapa lawan, siapa ikhlas, siapa sebaliknya.
Siapa yang faham dengan apa yang saya perjuangkan lewat tulisan-tulisan dan karya saya yang diterbitkan secara fizikal mahupun atas talian, dan siapa yang muncul menabur kata rindu sayang hanya setelah gempar seluruh watan.
Masyarakat kita sedang tenat. Ke mana pun saya pandang, saya lihat penyakit sosial yang sedang merebak.
Mental health issues, rumah tangga yang bergolak, anak remaja yang memberontak, pemuda pemudi yang bebas bermaksiat, agama ditunggang dengan jahat, para pembesar saling berbalah mengumpul tukang sorak.
You really think we have time to waste?
Banyak lagi urusan dan kerja membangun jiwa yang perlu dibuat.
Saya akan terus di jalan ini, selagi Allah swt mahu dan kurniakan kudrat.
Cuma saya akan mula mengemaskini modus operandi dan cara saya bergerak di tengah komuniti.
Pernikahan kami telah membuka jalan kepada laluan yang selama ini tidak dapat saya harungi kerana bersendiri.
Semoga Allah swt menetapkan kami berdua di jalan yang lurus sehingga ke hujung denyut nadi.
Dan di kesempatan ini, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak Jejak Tarbiah yang diketuai oleh kak Saadiah Ali kerana telah menjadi wakil saya sepanjang isu berkenaan berlegar di ruangan awam.
Terima kasih juga kerana menjadi penerbit yang baik dan perform. Semoga sukses selalu untuk seluruh warga JT yang telah menjadi rakan-rakan bersembang, bermusafir, dan paling penting bermakan-makan. (Eh.)
Semoga kedatangan tahun baru Hijri yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi ini, menjadi satu titik yang mendorong kita semua untuk berubah menjadi insan yang lebih baik dan sejahtera jiwa dan raga.
Ketika dunia sedang bergelegak dengan keruntuhan moral dan kekosongan makna, jangan jadi penyumbang kepada masalah jika pun tidak mahu menjadi penawarnya.
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ ٱسْتَحَبُّوا۟ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا عَلَى ٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ١٠٧
Yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang ingkar.
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَـٰرِهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْغَـٰفِلُونَ ١٠٨
Mereka itulah orang-orang yang telah ditutup oleh Allah Taala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai.
(Surah An-Nahl: 107-108)
#dukkanmaya #inpursuitofconnectedness #mydaysarenumbered #byNNM #readingwithpurposes #learninglocus #writingwithwisdoms #copyrightsreserved