
Kalimah keramat yang pernah menggegarkan setiap pentas yang disinggahi. Begitulah, seorang anak perempuan yang baru mengenali dunia dan pengaruhnya yang menggiurkan. Peluang ini peluang emas; sanjungan ini adalah ruang meletakkan diri pada posisi yang tinggi untuk dijadikan ikutan.
Daripada idola-idola atau ikon-ikon hedonistik yang melalaikan, bukankah lebih baik kita letakkan sesuatu atau seseorang yang soleh peribadinya sebagai sanjungan?
Sehinggalah satu demi satu pementasan dikupas di hadapan mata, dan “milik masyarakat” tadi memakan seinci demi seinci semangat hidup, kestabilan emosi, prinsip dan jati diri, lalu tidak ada siapa pun yang sanggup meluangkan masa untuk menyelamatkan tubuh kecil yang hanyut dibawa arus deras.
Ada banyak perkara yang tidak ada siapa sanggup ajarkan, disebabkan tidak ada kemampuan dan tidak ada pengalaman, jadi mengapa, ada di kalangan kita yang lebih sanggup menyuruh orang lain jatuh ke jurang dan melihat sahaja dari tepi curam?
Betapa tidak bertanggungjawabnya kita sebagai seorang insan.
Oleh itu, untuk semua “milik masyarakat” yang sedang terjunam kerana berperang dalam diri; berhentilah. Take a break. Dunia akan tetap berputar meskipun kau tidak lagi ‘bersinar’. Jangan kecundang semata-mata kerana mahu memuaskan pandangan orang. Tidak guna memasang senyuman palsu, walhal dalam diri kau terus bertengkar – kerana boleh jadi telah terlalu banyak perintah Tuhan yang kau langgar. Hal yang tak terlihat di mata manusia, tetapi terasa di jiwamu yang masih sejahtera, tak perlu kau jelaskan pada sesiapa. Ambillah masa untuk merenung ke dalam diri, dan jika kau harus meninggalkan segalanya, beranikanlah diri. Kerana setiap yang kita lepaskan demi keredhaan Tuhan, jauh lebih berharga dari seluruh keindahan yang menipu daya.
Dan untuk semua yang besorak sorai di tepi gelanggang, hormatilah hak individu dan belajarlah melihat kebenaran sebagai kebenaran. Sebuah kebenaran perlu disampaikan, kerana haknya untuk disebarkan. Bukan fokus kepada mengkehadapankan orang tertentu supaya boleh menyebarkan kebenaran. Dalam hal ini, sebagaimana orang yang menyampaikan perlu menjaga diri, begitu juga orang yang menerima perlu menjaga diri.
Jika dengan perkongsian seseorang tentang kebaikan, menjadikan dia dipandang orang, maka ia adalah ujian yang harus diurus. Sementara itu, perhatikanlah ujian yang Allah berikan kepada kita. Hati-hati menyuguhkan perkara yang kita sendiri tidak tahu hakikatnya.
Bukankah Al-Qur’an telah memperingatkan kita tentang orang-orang yang mempertuhankan hawa nafsunya?
“Lalu ia pula disesatkan oleh Allah dengan ilmunya, dan dihadang pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah ? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat?” (QS 45:23)
Mempertuhankan hawa nafsu bukan semata ritual menyembah berhala, atau mengabdikan diri pada makhluknya.
Tetapi merangkumi juga kita yang mendahulukan nafsu sendiri sehingga menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Mengikut nafsu yang menjauhkan kita dari kebenaran apabila mengambil agama sebagai main-mainan. Mengambil ringan terhadap peringatan dan suruhan Tuhan dan RasulNya kerana lebih mengutamakan nafsu sendiri. Jaga-jaga kerana nafsu kita ada banyak rupa. Ada orang mahu melihat sesuatu di depan mata, baru mahu dengar dan ambil cakna. Sedangkan anugerah Tuhan banyak yang tidak dapat ditangkap oleh mata kerana perlu dirasa oleh jiwa.
Pada akhirnya, syurga neraka bukan milik kita. Tidak ada siapa yang berhak melabel seorang ustaz atau ustazah, pelajar sekolah agama atau tahfiz, maka merekalah penghuni syurga. Tidak ada sifir semudah itu, kerana semua orang harus bekerja keras untuk syurga, tidak kira siapa kita.
Ada dermawan yang dihalang dari masuk ke syurga, kerana kedermawanannya adalah dari perasaan riya’. Ada pejuang yang gugur syahid dihalang dari masuk ke syurga, kerana gugurnya dia adalah dari perasaan riya’. Begitu juga ada orang yang banyak ilmu Al-Qur’an dan mengajarkannya, tetapi dihalang dari masuk ke syurga, kerana amalannya adalah dari perasaan riya’.
Begitu besar bahaya riya’ yang diingatkan oleh Allah SWT dan RasulNya. Apakah sanggup kita nafikan mudaratnya apabila ada “milik masyarakat” tidak lagi mahu dilihat, dengan menanggapi ia sebagai “kehilangan untuk masyarakat”?
Justeru itu, “berpesan-pesanlah kita dengan kebenaran, berpesan-pesanlah dengan kesabaran,” kerana hakikatnya kita semua tidak lebih dari insan biasa yang banyak cacat cela, tetapi perintah Tuhan untuk mengajak kepada kebaikan adalah kesempatan yang diberikan kepada semua orang.
Hanya insan yang terpilih di sisi Ilahi sahaja mampu menjadi “milik masyarakat” kerana kekuatan jati diri dan ketinggian peribadinya yang tiada tara, sedangkan kita, harus sentiasa berusaha untuk menjadi seperti mereka.
Letakkan penanda aras pada tempat yang betul, agar perjalanan kita ialah perjalanan yang lurus.
Selamat pergi Muharram, kami meninggalkanmu bersama hati yang bercampur baur dan tekad yang tidak akan padam.
Dan seperti bulan yang berganti, begitulah anak perempuan tadi beransur perlahan-lahan, meninggalkan pentas yang tidak lagi cocok buat seorang gadis sunti.