Pagi itu hening. Debaran kencang terasa di sudut hati. Ada rahsia yang disembunyi.

Yang mengetahui cuma arwah bonda. Jika gagal, segalanya akan berantakan. Doa dipanjatkan agar diberikan kekuatan walau apa pun keputusan yang datang.

Senyum lembut arwah tidak pernah gagal meredakan rawan. Kadang selorohnya membuat beban yang berat menjadi ringan.

Mungkin selama ini ia diambil mudah, sehingga apabila ia telah tiada barulah terasa kehilangan.

Sendirian. Langkah kaki dihayun menuju perhentian bas awam, menunggu seperti kebiasaan.

Bas tiba, perjalanan ke sekolah dipenuhi pelbagai andaian. Perkiraan demi perkiraan. Kemungkinan demi kemungkinan.

Sehinggalah akhirnya, tiba ke destinasi dan semuanya berlaku dalam satu petang. Watan dikejutkan.

Dalam satu malam, segalanya berubah tanpa amaran. Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang mengabulkan impian anak perempuan yang selama ini tekun mengusahakan cita-cita dalam diam.

Fast forward. Lima tahun ke depan. Sehari sebelum Ramadhan. Segalanya berubah sekali lagi, tiada lagi kesempatan mengucup tangan yang melahirkan. Dan tahun-tahun mendatang ialah fasa-fasa berhadapan kenyataan yang pedih dan memeritkan.

Pertama: Sijil di tangan, bukan di hati.

Jika sejauh itu kaki telah diizinkan oleh Tuhan untuk melangkah di lorong kehidupan dan masih belum ada pelajaran yang diambil, betapa kerugiannya seorang insan yang dikurniakan usia dan kesihatan.


Maka, pertamanya, untuk anak-anak yang baru sahaja melalui hari paling bersejarah dalam usia 17-18 tahun, bersiaplah. Bergegaslah untuk menghadapi dunia nyata yang tidak seperti sangkaan. Bersedialah untuk melangkah ke alam kedewasaan.


Apa pun keputusan yang telah didapatkan, letakkanlah ia di tangan. Jangan simpan ia di hati, samada untuk ditangisi atau dibanggakan. Sesungguhnya sekeping sijil yang diraih, tidak lebih dari sehelai kertas yang tidak mampu mengukur nilai diri insani.


Segala jerih payah, amalan kebaikan, jasa bakti dan kesulitan yang telah ditempuhi adalah latihan demi latihan yang membentuk jati diri. Jangan perkecilkannya dengan menyandarkan tinggi rendah prestasi pada sekeping kertas yang terdedah kepada manipulasi.

Sebab sesungguhnya harga diri dan sikap yang telah dibentuk sepanjang tempoh-tempoh berusaha keras, jauh lebih utama dan dilihat oleh Ilahi.

Kedua : Keseimbangan peranan.

Kedua, teristimewa untuk rakan-rakan seperempuan yang masih belum bertemu pasangan. Yang melepasi liku-liku pengajian dan pekerjaan, mengusahakan impian setelah selesai hari keramat di usia 17-18 tahun, mencapai setinggi-tinggi pencapaian untuk diri dan keluarga, sehingga membuat para pemuda ketakutan.


Ketahuilah, bahawa sebuah perkahwinan itu harus dibina dari keseimbangan peranan lelaki dan perempuan. Tidak ada mana-mana pihak perlu berpura-pura dan bersembunyi demi menjaga keegoan sesiapa. Begitu juga tidak ada mana-mana pihak yang wajar mengambil kesempatan di atas kekuatan dan kelebihan sesiapa. Sebab penyatuan dua hati yang dicari itu seharusnya saling melengkapi.


Maka, siapakah yang lebih mengetahui tentang bahagian yang mampu melengkapkan diri, selain Tuhan yang Maha Mencipta?

Carilah jawapan dengan mencari Tuhan di hidup sebagai khalifah atas dunia. Di mana Tuhan diletakkan dalam keseharian sebagai manusia?

Ketiga : Keteladanan yang nyata.

Ketiga, di manakah lagi akan kita temukan jawapan tentang bagaimana menjalani amanah di dunia, melainkan daripada Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam dan para keteladanan yang disebutkan dengan nyata? Pada sosok Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam ada jawapan untuk merungkaikan semua permasalahan hidup. Jangan ambil sebahagian, dan tinggalkan sebahagian.


Ketika kita mahu hujahkan bahawa wanita di sekeliling baginda tidak bodoh, kita petik keteladanan dan kehebatan mereka. Namun, ketika kita perlu mempertahan maruah diri dan melindungi kehormatan, kita perlecehkan sahaja contoh yang ditunjukkan mereka.

Ketika kita mahu menangkan lelaki layak beristeri lebih dari seorang, kita ambil contoh baginda berpoligami. Namun, ketika kita perlu meninggalkan riba dan tegas pada pencarian sumber rezeki, kita ketepikan sahaja teladan yang ditunjukkan oleh baginda Nabi.

Punca masyarakat hari ini terlalu jauh kesasar adalah terasingnya kita dari kompas moral yang telah dianugerahkan oleh Ilahi.

Oleh itu, tidak ada lagi kesempurnaan akhlak yang dicari. Sebaliknya yang menjadi kayu ukur adalah nama, pangkat dan jawatan, pengikut dan limpahan kemewahan yang tampak di hujung jari.

Maka, sang angkuh nan bongkak menjadi pemimpin diikuti. Sang sombong dengan dakwaan bahawa ilmunya tertinggi, jadi mandur yang mengerahkan para pak turut menghulur leher untuk dirantai sebagai biri-biri.

Jenayah Terbesar.

Lalu untuk akhirnya, jenayah terbesar yang insan lakukan terhadap kemanusiaan adalah memasuki gerbang perkahwinan tanpa sebarang perancangan tentang bagaimana untuk mengisi anak-anak yang bakal dilahirkan dengan kesedaran hidup berTuhan.

Perancangan ini bukan secetek tadika mana yang hendak dihantar, sekolah mana yang hendak didaftar, universiti dan negara mana hendak disuruh belajar. Tetapi siapa kita sebagai ibu bapa yang punya autoriti tertinggi dalam mencorakkan satu makhluk Tuhan yang lain.

Nilai apa yang diajar, teladan apa yang hendak digambar. Hal-hal begini tidak akan diperoleh di institusi pendidikan. Sebab kesedaran hidup berTuhan tak mampu digarap sebatas teks-teks rujukan. Ia datang dari hati, dirasai dalam jiwa, difahami dan dihayati tanpa mengira status dan latar belakang.

Oleh itu, berhentilah menumpukan perhatian kepada kesementaraan. Kembalilah menemukan keabadian, betulkanlah semula kesibukan-kesibukan yang menjauhkan diri dari kebenaran.

Kita semua insan, yang singgah di dunia untuk memenuhi tujuan penciptaan, dan akan kembali ke Dar Al-Akhirah yang kekal untuk selama-lamanya di sisi Tuhan.

Sejauh mana kita memahami hakikat tersebut dan menjadikannya pedoman di setiap pilihan dan perbuatan?


يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ ۖ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَٰئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا (71)
وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا (72)

Pada hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan Imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya, dan mereka tidak akan diperbuat salah walau sehalus tali biji tamar. (71)


Dan sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya. (72)
#zulqaidahrealign #zulqaidah1442h #DukkanMaya #inpursuitofconnectedness