Dunia serba terbuka pada hari ini menyajikan terlalu banyak peluang dan ruang untuk berbakti dan menyumbang. Namun, sejauh manakah kita mendalami dan memahami ruang yang terbentang, untuk memastikan diri tidak dikeldaikan, sebaliknya kita yang menunggangnya untuk menjalankan pekerjaan sepenuh perhatian?

Ketika seorang perempuan memilih untuk melepaskan segala pujaan awam, sanjungan dan pujian melambung yang kadang tidak berpijak di bumi nyata, tepukan dan belaian mesra yang bersulam kata manis dan pulangan material, ada yang melihatnya sebagai satu pilihan mementingkan diri. Ada yang menghukum pilihannya sebagai pilihan pengecut; takut riya’, takut menunjuk-nunjuk, takut takabbur. Sedangkan masyarakat tenat perlukan satu contoh keteladanan yang nyata di hadapan mata sebagai ikutan. Bukankah kufur nikmat namanya apabila diri sudah di puncak, sudah punya pengaruh yang kuat, tiba-tiba menghilang dari pandangan awam, demi menjaga kemaslahatan peribadi?

Begitu kata mereka.

Little did they know, bahawa pilihan yang dibuat adalah atas dasar cinta kepada masyarakat, demi kebaikan ummat sejagat, untuk kesejahteraan rakan-rakan, saudara-saudara dan generasi kini akan datang.

Sebab pilihan yang terhasil bukanlah dari asumsi kosong tidak berasas, bahkan dari bukti-bukti penglibatan secara langsung dalam industri teknologi maklumat yang menciptakan ruang dan peluang tadi lalu dikukuhkan lagi dengan pengalaman berada di tengah-tengah suluhan lampu publisiti pada satu ketika yang telah pergi.


Hakikatnya, dunia berevolusi lebih laju dari kehendak manusia untuk berfikir dan bertafakur, menaakul kejadian diri dan kewujudan di atas muka Bumi. Maka, kita harus berani dan sanggup berhenti untuk merenung dalam-dalam dan menilai setiap satu tindakan dan pekerjaan yang dilaksanakan. Benarkah semuanya ditunaikan dengan penuh pertimbangan terhadap kesan jangka pendek dan jangka panjang yang belum kelihatan?

Merebaknya budaya berkongsi segala perkara tentang diri dan hidup peribadi pada hari ini bukanlah sesuatu yang terjadi tanpa dirancang. There is a reason kenapa ia dinamakan ‘Facebook’ dan bukan ‘Book Face’, kenapa namanya ‘Instagram’ dan bukan ‘Slowgram’, kenapa ‘Tik Tok’ bukan ‘Vroom vroom’ (misalnya).

Dan kita, insan terhormat yang punya maruah dan harga diri, baik lelaki dan perempuan, semakin lama semakin hanyut dipukau kemodenan yang kita sendiri tidak pernah ambil masa untuk faham.

Kita cuma mahu cepat menyebarkan dakwah, mahu cepat grow followers dan audience. Mahu tingkatkan engagement. Perlu cepat bina brand, jenama sendiri, personaliti yang terkedapan dan layak didengari. Lalu kita melepaskan segalanya. Kita muatnaik gambar wajah mulus agar dikenali, biar pengikut kenal siapa kita. Biar semua lihat berapa batang gigi arnab dan bagaimana rupa ayu senyum dengan olesan gincu cantik terletak. Biar semua lihat kita bergaya dengan tubuh kekar baru balik gim.

Kita pamerkan kemesraan antara suami dan isteri yang sepatutnya berlangsung di belakang kamera, demi dilihat oleh para pengikut termasuk yang masih bawah umur dan bujang agar semua berkehendak untuk mencari pasangan dan ‘meramaikan ummat Islam’.

Kita londehkan segala hijab yang Tuhan pakaikan ke atas sosok tubuh manusia agar tidak tertinggal di belakang kemajuan.

“Apa salahnya berkongsi kebaikan?” kita tanya. Jika tiada cerita-cerita peribadi, tak ada siapa mahu ikut. Posting panjang-panjang tiada siapa mahu baca. Berceloteh penat-penat depan lensa, tiada siapa mahu tengok. Bukankah bagus berkongsi apa yang baik? Marketing jalan, income masuk, followers berkerumun, dakwah lebih berkesan. Nikmat Tuhan yang mana lagikah kamu dustakan?

Little did we know, bahawa kita telah menyumbang kepada satu budaya yang mengubah fabrik sosial dan membuat masyarakat lebih tenat. Masalah sosial makin mencanak saban hari, dengan jenayah-jenayah makin tidak masuk akal, dan kegilaan yang makin menghakis kemanusiaan.

Semuanya ada kaitan, hanya jika kita merenungkan.


Al-aʾmr bil maʿarūf dan An-nahy ʿanil munkār dalam Islam tidak pernah berhajat kepada penanggalan rasa hayāʾ (malu) dari jiwa insan. Kita sebenarnya tidak pernah perlu menjatuhkan harga diri sebagai insan yang dijadikan mulia oleh Allah SWT demi menjalankan kerja kebenaran, jika betul kita ikhlas hanya untuk mencari keredhaanNya.

Maka bezakanlah kehendak diri yang mahukan kesementaraan duniawi, dari kehendak Ilahi yang mahukan keabadian ukhrawi untuk hambaNya yang mencari.

Setiap yang terhalang dan perlu ditahan demi prinsip kebenaran, adalah perlindungan dari bahaya yang kita belum nampak lagi.

Di kesempatan ini, hanya 3 pedoman penting yang mahu ditekankan dalam menguruskan keberadaan di media sosial sebagai insan terhormat.

Pertama, fokuslah kepada mesej yang ingin disampaikan. Bukan diri sendiri, bukan juga cerita-cerita peribadi. Jauh sekali kemaskini setiap fasa hidup dan aktiviti. Sekalipun ada perkara perlu diceritakan untuk berkongsi pengajaran, berpada-padalah dalam menonjolkan inspirasi agar tidak menggadaikan jati diri. Begitu juga dalam hal ehwal iklan dan promosi. Sesuatu produk yang berkualiti akan mampu berdiri sendiri, tanpa perlu kita goda perhatian orang dengan menampilkan diri atau pertunjukan yang tidak berkaitan. Jika tidak, apa beza kita dengan iklan ais krim dalam memanipulasi model yang tidak segan beraksi?

Kedua, jangan serahkan semua. Setiap insan punya empat elemen pada dirinya. Kita bukan semata-mata jasad, bukan juga semata-mata ruh. Bukan juga semata-mata apa yang kita fikir. Atau sekadar apa yang kita rasa di emosi. Kita adalah kesemuanya. Justeru, jangan letakkan semua tentang kita di media sosial. Pada gambar kita, ada ruh. Pada tulisan kita, ada fikiran, kadang perasaan. Jangan serahkan mudah-mudah di tempat yang tidak berhak. Cukuplah ruang yang ada ini digunakan untuk kepentingan menyampaikan maksud berandal kebenaran sahaja. Jangan lebih.

Ketiga, matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Niat yang baik tidak cukup untuk membela kita di Akhirat kelak, sebab Allah SWT telah mengurniakan kita free will untuk bertindak dan membuat keputusan. Sebab itu, di samping niat yang baik, kita tidak pernah boleh berhenti dari memeriksa dan menilai kerja buat dari pelbagai sudut pandang. Belajarlah melihat dengan adil dan saksama.

Dan khusus untuk adik-adik dan rakan-rakan sewanita:

Baru-baru ini, ketika warganet dikecohkan dengan isu Sugarbook, seorang remaja perempuan membuat laporan polis tentang gambarnya yang disalah guna oleh pihak tertentu untuk dimuatnaik ke laman web biadab tersebut.

Itu yang kita tahu. Yang nyata.

Cuba buat carian nama masing-masing sekarang. Anda akan dapati laman-laman yang tidak pernah anda ketahui turut menyimpan gambar dan maklumat yang anda letakkan di laman sosial sendiri.

Berapa ramai sudah yang telah memuatnaik gambar masing-masing penuh di atas talian, hingga tiada siapa tahu ke mana ia berakhir? Berapa banyak mata-mata jahat berpesta di atas kenaifan segolongan besar yang tidak menghiraukan kehormatan anak sendiri sekali pun jika tidak kisah terhadap diri?

Apa yang kita letakkan di atas talian tidak pernah jadi milik peribadi. Pemilik setiap media sosial ini berhak menggunakan apa sahaja data yang diberikan kepadanya mengikut pertimbangan sendiri, siapa yang akan menghalang?

Siapa pula pemilik? Bukan kita ya.
Kita bukan pemilik, kita hanya pengguna.

Dan ingat, apabila kita selaku pengguna menggunakan sesuatu tanpa bayaran, kitalah yang diguna untuk diniagakan.


Oleh yang demikian, segala jenis perkara yang dapat menyumbang kepada budaya bebas berkongsi gambar, hidup, diri harus dihentikan. Maka pilihan yang dihukum mementingkan diri tadi perlu diteguhkan.

Hari ini, mungkin kita yang merasa diri celik menunjukkan contoh yang baik-baik. Kita bercakap perkara yang baik-baik, mengingatkan Akhirat dan yang betul-betul sahaja. Tetapi kita campur baurkan dengan kisah-kisah peribadi; berkongsi sekali sekala, untuk menonjolkan sisi ‘kemanusiaan’ kita. Generasi muda yang masih mampu celik sepenuhnya mengambil sepenuh hati dalam keadaan buta. Mahu jadi seperti kita. Tidak lama, dunia akan bertambah keliru. Bercampur aduk antara haq dan batil.

Banyak wanita muda bertanya diri, bagaimana untuk maju sebagai seorang perempuan yang progresif, yang luas pandangannya, yang cakna terhadap isu semasa, namun dalam masa yang sama, turut menjaga keperibadian, sahsiah dan akhlaknya?

Soalan sebegini sebenarnya tidak harus ditanya oleh wanita muda sahaja, tetapi juga oleh lelaki-lelaki muda yang mahu memahami erti chivalry. Menjadi progresif, luas pandangan, cakna isu semasa tidak pernah bertentangan dengan penjagaan kehormatan peribadi dan keluhuran pekerti.

Andai saja kita mengenali keperibadian Sayyidah Fatimah ʿalaihassalām , kita akan temukan jawapan kepada soalan ini, baik sebagai lelaki mahupun perempuan.

Sebab ada satu hal yang jarang dibicarakan tentang Sayyidah Fatimah, menyebabkan kita tidak melihat dan gagal memberikan keadilan kepada Sayyidah. Bahawa Sayyidah Fatimah ʿalaihassalām seorang yang tinggi intelektual, yang jauh pandangannya melebihi jangkauan kebanyakan manusia, yang daya fikirnya merentas zaman, yang tegas dengan prinsip atas dasar kefahaman yang penuh dan berwibawa.

Disebabkan kegagalan ini, kita meraba-raba dalam gelita, mencari pedoman dan panduan membawa diri di era yang telah dijanjikan menduga.

Dunia ini sementara, namun tindakan dan keputusan kita di dunia menatijahkan hasil yang akan kekal selamanya. Tidak ada siapa yang sanggup meluangkan masa untuk mengasingkan hitam dan putih dari hidup manusia lain, apatah lagi yang tiada kena mengena.

Kitalah bertanggungjawab di atas keputusan yang dibuat. Dalam era ledakan maklumat bersimpang siur dengan propaganda khianat, beranilah membuka mata untuk mengenali yang mana hikmah yang mana punah.

قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا (98) ۞ وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ ۖ وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَجَمَعْنَاهُمْ جَمْعًا (99)

Berkatalah (Zul Qarnain): “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar” (98) Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di perhimpunan (Padang Mahsyar). (99)

[Surah Al-Kahfi : 98-99]

Semoga Allah SWT melindungi kita dari menjadi rantaian mata fitnah yang memudahkan kedatangan fitnah akhir zaman, nauzubillahi min zalik.