
Sekolah
Bunyi loceng basikal pak cik penjaja menarik perhatianku yang baru sahaja segar usai membasuh muka selepas bangun tidur. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Aku berlarian membuka pintu rumah dan mencari-cari di mana pak cik hari ini. Terbayang kuih cakoi, karipap, donat, juga nasi lemak, nasi berlauk, laksa..wah berkeroncong bunyi perut.
Sebaik sahaja kelibat pak cik berbasikal tertangkap di anak mata, aku melaungkan, “umi, pok su jusoh sapa doh!” (umi, pak su jusoh sudah sampai!), lalu kedengaran suara umi dari bilik, “amik lah duit atah mari tu” (ambillah duit atas almari ‘tu.)
Aku menghampiri almari pakaian yang tingginya separas hidungku, dan mencapai duit kertas dan syiling dengan tangan kecil yang cukup-cukup sahaja untuk sampai. Sekeping duit kertas berwarna biru yang berkeronyok, dan beberapa keping syiling 20 sen dan 10 sen kini dalam genggaman. Aku berlari lagi ke luar rumah, takut-takut pak cik penjaja tadi sudah berlalu.
Di hadapan tangga rumah, pak cik masih sibuk berjual beli dengan jiran tetangga. Pak cik ini juga dikenali dengan nama mesranya, Pak Su Jusoh, memang biasa menyorong basikal tuanya setiap pagi dengan setia, membawa barang-barang jualan untuk sarapan. Aku menanti giliran dengan sabar.
Tiba-tiba dari hujung lorong, kulihat rakan yang seusia denganku berjalan menghampiri kami. Dia memakai baju kurung comel berwarna hijau putih, lengkap bertudung. Aku memandang dengan penuh tanda tanya dalam hati. Giliranku sampai, “Nok beli karipap seriyal, laksei so deh pok su,” (Nak beli karipap seringgit, laksam satu ya pak su). Sambil makanan dan duit bertukar tangan, mataku masih tertancap kepada rakan sebaya yang juga jiranku itu.
Pagi itu, sambil bersarapan, aku bercerita kepada umi tentang apa yang aku lihat. Barulah aku faham, rupa-rupanya, rakanku itu sudah pun memasuki pusat asuhan tunas Islam, sebuah tadika untuk anak-anak seawal usia 5 tahun. Aku bertanya kepada umi kenapa aku tidak pergi ke tadika juga.
Umi menjawab pusat asuhan itu berbayar dan yurannya mahal. Aku perlu tunggu umur 6 tahun untuk bersekolah, sebab Pra Sekolah yang disediakan secara percuma oleh kerajaan hanya membuka kemasukan untuk anak-anak yang berusia 6 tahun sahaja.
Hatiku digigit cemburu juga, kerana tidak dapat memulakan persekolahan awal seperti rakan yang sebaya denganku. Namun penjelasan umi cukup untuk membuat aku lebih dari mengerti.
Permulaan Mengenal Huruf
Semangat untuk belajar dalam diri kecilku berkobar-kobar. Meskipun aku tidak menghadiri persekolahan secara formal, umi rajin mengajarku tulis dan baca di rumah. Aku belajar patah demi patah dengan penuh teruja. Mengeja dan membina perkataan dengan suku kata yang pendek-pendek, membuatkan aku tidak sabar untuk masuk ke sekolah dan membaca buku.
Di rumah kami sendiri bukunya memang terhad. Kebanyakan buku yang ada telah kukhatamkan beberapa kali, meskipun tidak semua kandungannya kufahami. Jika terdapat perkataan yang tidak dapat aku eja, aku akan bertanya kepada umi.
Sejak aku mula pandai membaca, aku baca apa sahaja tulisan yang aku temui. Papan tanda, nama jalan, nama kedai, termasuklah surat khabar lama yang jadi bungkusan makanan. Maka, tatkala kaki melangkah ke darjah satu, subjek Bahasa Melayu menjadi subjek kegemaranku.
Aku jadi murid yang paling seronok untuk sukarela bangun dan membacakan teks di hadapan kelas. Sebab itulah, apabila mencecah umur 9 tahun, aku sangat berharap agar terpilih sebagai pengawas perpustakaan. Impianku dimakbulkan pada tahun seterusnya iaitu semasa darjah 4, dan banyak waktu yang aku habiskan di perpustakaan sekolah.
Geng Detektif
Kegemaran membaca menjadi sebati dalam diriku sepanjang di sekolah rendah. Berulangkali kubaca buku-buku yang ada. Menjadi pengawas perpustakaan pula satu kelebihan, kerana aku boleh mengakses perpustakaan pada bila-bila masa sahaja. Di perpustakaan sekolah kami, antara judul yang banyak ialah buku cerita kanak-kanak dan novel penyiasatan.
Keasyikan tenggelam dalam dunia penyiasatan yang kubaca melalui buku-buku Enid Blyton, Misteri Remaja, Siri Hadi, tidak sahaja berhenti dalam angan dan khayalan, bahkan memberi ilham kepada diriku untuk menubuhkan kumpulan penyiasatan sendiri. Aku mengumpulkan kawan-kawan yang berkongsi minat yang sama dalam tiga ke empat orang, dan kami mula mengatur strategi untuk menumpaskan penjenayah. Jenayah yang kami juga tidak tahu apa.
Apatah lagi kedudukan sekolah rendah kami dikatakan berada di atas tapak kubur tentera Jepun, kerana kampung kami hanya bersebelahan sahaja dengan Kampung Sabak. Pantai Sabak ialah pantai yang dipilih sebagai kawasan untuk mendarat oleh tentera Nippon. Beberapa puing runtuhan dan sisa yang dikatakan tinggalan penjajahan Jepun menjadi subjek utama kami.
Aku masih ingat sebuah bangunan tinggi yang dikatakan tempat pembakaran, juga kapal terbang lama yang dapat kami lihat dari kejauhan di belakang sekolah kami. Mungkinkah bangunan-bangunan ini menjadi lubuk penyamun? Atau markas penjenayah? Kami mencari klu dan petunjuk, lagak penyiasat berpengalaman, sedangkan usia masing-masing ketika itu belum pun masuk 12 lagi.
Mujurlah aktiviti tersebut tidak bertahan lama. Semakin hari, kami disibukkan dengan urusan pelajaran dan ko-kurikulum, kerana menjelang UPSR, kami perlu bersedia untuk menduduki peperiksaan dan mengumpulkan sijil-sijil ko-kurikulum bagi mendapat tempat di sekolah yang terbaik.
Mengenal Hedonisme
Meskipun pembacaanku tidaklah boleh dikategorikan sebagai meluas dek keterhadan sumber, banyak juga perkara baru yang tidak diajar di sekolah berjaya aku perolehi dari aktiviti ini. Selain buku-buku pelajaran yang mencorakkan perjalanan akademik, aku sentiasa mencari peluang untuk menggulati buku dan majalah yang terdapat di pusat sumber. Bahan-bahan inilah yang sebenarnya membentuk cara fikir dan cara pandangku sebagai seorang gadis yang sedang meningkat remaja.
Dengan panduan yang aku terima melalui pelajaran Al-Qur’an, Hadis, Tauhid, Fiqh, Sirah dan Akhlak, aku menjadi lebih cermat menapis mana baik dan mana buruk. Tidak dapat dinafikan, apabila seorang pembaca sudah masuk ke dunia membacanya, tiada siapa dapat menghalang ke mana fikirannya akan bersiar-siar dan berkelana.
Pembacalah yang menentukan apa yang dia lihat, rasai dan alami dalam dunia yang dilukis penulis tetapi dibentuk oleh kreativiti pembaca sendiri. Maka, pengetahuan asas tentang baik buruk sesuatu perkara harus menjadi penjaga yang mengawal imaginasi pembaca agar tidak dibiarkan menerawang dengan liar.
Ada beberapa kenangan pembacaan yang masih tersimpan kemas dalam kotak memoriku, dan tidak dapat kuluahkan semuanya. Walau begitu, satu hal yang sangat membekas terhadap perkembangan kefahamanku ialah pelajaran tentang hedonisme. Satu hal yang aku sangat syukuri, kerana ia membuat aku sedar tentang keberadaan diriku pada zaman yang mencabar.
Ketika fenomena rancangan realiti mulai tumbuh bagai cendawan, kebanyakan rakan sebayaku menghabiskan masa dan wang untuk mengikuti perkembangan dunia hiburan dengan rapat dan asyik sekali. Sudah tentu, jiwa remaja yang mahu berseronok-seronok kadangkala memancing perhatianku untuk ikut serta dalam arus semasa. Namun demikian, kesedaran tentang gejala hedonisme sebagai musuh dalam selimut, membenteng diriku dari terjebak sama.
Membaca Sebagai Jambatan
Andai dapat kuberikan perumpamaan; seseorang yang mahu memasuki sebuah kota keilmuan, perlulah memasuki kota tersebut melalui pintunya. Membaca pula, ialah jambatan yang merentangi sungai tribulasi yang dipenuhi buaya kejahilan dan kesombongan. Oleh yang demikian, merentasi jambatan itu harus disertai dengan keberanian.
Aku percaya orang yang membaca harus jadi pemberani. Membaca sewajarnya membuat seseorang tidak takut berhadapan realiti. Membaca juga sepatutnya menjadikan seseorang lebih terbuka, mudah berlapang dada, senang didekati dan tenang menguruskan emosi.
Kota Keilmuan
Tidak semua kota keilmuan mampu kita jelajahi. Berbekalkan pengalaman hidup dan pengamatan peribadi, kita memilih kota yang paling dekat di hati. Sebab dengan pilihan ini, kita akan meneroka gudang demi gudang yang sangat luas.
Sebagai seorang Muslim, aku sentiasa meyakini bahawa kota keilmuan yang dekat di hati ialah kota yang mengenalkan aku kepada Ilahi. Hanya kota ini yang akan membuat pengalaman pembacaan jadi bererti dan terisi dengan matlamat yang hakiki.
Sebab kemampuan membaca yang aku punyai juga adalah dari kasih sayang dari Sang Pencipta. Tidakkah aku wajar mensyukuri kurniaanNya dengan menjadikan keupayaan membaca ini sebagai salah satu wasilah untuk mengenali Tuhan yang menciptakan dengan lebih teliti?
Moga-moga, akan terpenuhi maksud wahyu pertama yang diturunkan kepada Junjungan yang mulia, “Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!”