Saat anak panah dilepaskan dari busurnya, tidak ada yang dicita-citakan oleh sang pemanah melainkan agar ia mengena tepat pada sasaran. Tiada pemanah yang akan berpuas hati dengan sekadar sipi-sipi di atas garisan paling hampir dengan bullseye, sebab pencapaian yang terbaik ialah titik tengah berkenaan.

Begitulah juga mustahaknya ketepatan keteladanan dalam kehidupan seorang insan. Teladan yang tepat akan menunjukkan jalan yang terbaik untuk mencapai tujuan. Salah ambil teladan, salah jugalah jalan yang akan dilewati lalu menyebabkan insan tersasar dari landasan yang sepatutnya membawa diri menuju kebenaran.

Demikianlah tema yang cuba diangkat menerusi karya pembangun jiwa, Denai Cinta yang dipilih untuk mengisi makna kemerdekaan kali ini. Dan selaku penulis, tulisan yang akan dibentangkan selepas ini bukanlah sebenarnya resensi.

Mungkin boleh dianggap sebagap ulasan penulis sahaja, yang cuba menawarkan satu perspektif berlainan dimensi dalam usaha menghayati erti sebuah kemerdekaan.

Ada Apa dengan Denai Cinta

Denai Cinta sebenarnya sebuah karya yang mahu mengajak para pembaca mendengar semula suara-suara perlawanan dalam sanubari yang barangkali telah disenyapkan oleh keasyikan menjalani rutin harian yang berulang-ulang.

Menerusi dua watak utama yang saling berbicara dan adakalanya bermonolog sendirian, pembaca akan dibawa menelusuri perjalanan jiwa yang kerap memberontak dan mempersoalkan banyak hal di kancah kehidupan. Ada kalanya ia seolah-olah memahami hakikat kewujudan, dan ada waktunya ia seolah-olah hilang pedoman.

Kebanyakan dari kita yang mahu berfikir akan melalui fasa-fasa ini. Fasa di mana dada terasa sesak dengan pertanyaan yang tidak diselesaikan, lemas dalam kesibukan yang tidak berpenghujung, gelisah dalam hambatan duniawi yang tidak pasti arah dan haluan.

Semakin kita meningkat dewasa dan dibelenggu kewajipan, banyak perhatian terpaksa dihalakan kepada tuntutan fizikal dan material. Tanpa kita sedar, kita sudah menyerahkan kebebasan membuat pilihan dan keputusan ke tangan pihak lain yang sentiasa mengintai peluang untuk mengambil kesempatan di atas kelalaian kita.

Kegagalan dalam menyedari keadaan ini membuatkan kita terperangkap dalam penjara yang kita cipta sendiri. Secara sukarela, kita dirantai kehendak yang dicorakkan oleh perubahan arus semasa, meskipun tanpa kita memahami apa sebenarnya yang kita kejarkan.

Kita mengikut siapa sahaja yang nampak cemerlang di hadapan mata, yang nampak baik dan elok di pandangan, sedangkan kita sendiri juga tidak pasti ke mana destinasi yang ingin dituju oleh mereka.

Maka, jika direnungi, kita akan dapati betapa diri terkurung dalam ketetapan definisi yang tidak pernah disemak imbang.

Sebaik-baik Acuan Kurniaan Tuhan

Daripada Qatādah, daripada Anas bin Mālik radhiya Allāhu ʿanhu, sesungguhnya Nabi sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam bersabda: “Memadailah bagi kamu dari kalangan wanita sekalian alam, Maryam bint ʿImrān, dan Khadījah bint Khuwailid dan Fātimah bint Muhammad dan Āsiyah isteri Firʿaun.”

(Jamīʿ At-Tirmidzī: Kitāb 49, Hadīth 4252)

Umum mengetahui bahawa Allah SWT menciptakan setiap anak Adam sebagai hamba yang merdeka dan berhak membuat pilihan, jadi insan yang diperakui oleh Ilahi melalui lisan Kekasih-Nya pastilah yang paling layak dalam menunjukkan contoh untuk menjadi insan yang merdeka, bukan?

Oleh itu, Denai Cinta mengetuk kesedaran agar kembali menyemak setiap persoalan dalam diri dengan sebaik-baik acuan kurniaan Tuhan.

Empat orang wanita sempurna disebut secara nyata dan terang oleh Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam sebagai teladan untuk seluruh kemanusiaan tanpa dibataskan jantina, lelaki mahupun perempuan.

Beberapa kisah mereka diangkat oleh Denai Cinta secara santai sebagai jawapan kepada persoalan yang dilontarkan, bagi memberi gambaran bahawa pada setiap kesulitan yang dialami oleh insan ada petunjuk dari Tuhan.

Tidak ada ujian yang harus diharungi di dunia, melainkan setiap satunya ada jalan keluar yang telah ditunjukkan oleh para keteladanan yang dipilih oleh Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Merekalah sahaja yang dapat menunjukkan jalan kebebasan yang terbaik, paling damai dan sejahtera di sisi Ilahi, sebab sesungguhnya, hanya dengan meneliti denai yang telah dilalui oleh teladan-teladan mulia ini, barulah kita akan benar-benar berjaya memerdekakan diri dari belenggu kebatilan.

Apakah erti sebuah kemerdekaan, kalau bukan mengalahkan kebatilan dan menegakkan kebenaran, bukan? Dan medan pertama yang harus diperjuangkan kemerdekaan ialah diri sendiri, sebelum gagah melaungkan di medan yang lain.

Di denai cinta, kita belajar mengutip keluhuran dari perca yang dikambus sejarah.

Kita mengorak langkah dengan semarak semangat yang tidak mungkin dipadamkan oleh hasutan dunia, kerana kita telah belajar menyurih realiti menjadi hakikat demi pengakhiran yang terpuji.

Denai Cinta Ebook, hal. 221

Semoga Allah SWT memandu setiap langkah yang berusaha untuk memerdekakan diri dari belitan tipu helah dunia yang muncul dalam pelbagai bentuk dan samaran.

Amiin ya Rabb..


Denai Cinta (Ebook) boleh didapatkan di laman web Tijarah.

Klik sini : https://tijarah.dukkanmaya.com/shop/denai-cinta-ebook