Kenapa saduran ‘islamik’ tidak menyelesaikan masalah, bahkan membuat lebih punah?

Rancangan realiti tv islamik, ratu cantik islamik, pakaian islamik, idola islamik, hiburan islamik, tarian islamik, gusti islamik, couple dan dating islamik, dan seterusnya.. Senarainya terlalu panjang, menunjukkan betapa kita sedang bergelut mencari letak duduk dalam dunia yang makin ganjil. Soalnya, adakah Islam semakin diangkat, atau direndahkan dengan perkembangan mutakhir?

Sebelum itu, Islam yang dimaksudkan itu apa? Kata kerja, kata nama, atau kata adjektif?

Dari mana harus kita bermula?

Bingung

Generasi anak muda pada hari ini, yang sedang mendewasa dan menjadi ibu bapa, pasti akan memahami kekusutan yang sedang disaksikan. Kita imbau dua puluh tahun yang lepas, bagaimana kita pada waktu itu sebagai anak kecil yang cuma tahu permainan lompat tali getah, pondok-pondok, tin beracun, sehingga anak-anak kita pada hari ini hanya tahu mobile legend, pubg, candy crush dan banyak lagi yang tak pernah kita jangka.

Jika dulu, rancangan-rancangan realiti hanya melahirkan pelakon dan penyanyi yang secara nyata berada dalam industri hedonistik, hari ini rancangan-rancangan realiti sudah menampilkan para imam, pendakwah, asatizah yang secara kabur berada dalam industri yang kita juga masih gagal memberi identiti.

Jika dahulu, industri fesyen hanya memaparkan pakaian yang secara nyata menunjukkan aurat dan mendedahkan keaiban insan, hari ini industri fesyen sudah ‘mengintegrasikan’ elemen ‘menutup aurat’ yang secara kabur berkecimpung dalam budaya yang ditaja oleh para korporat kapitalistik untuk melalaikan insan dari Ilahi.

Jika dahulu, lagu-lagu Barat secara nyata menyanyikan lirik-lirik lucah dan pornografi, hari ini lagu-lagu Barat mulai ‘dimurnikan’ dengan lirik-lirik tazkirah yang secara kabur masih mendendangkan melodi yang sama, rentak yang sama, mood yang sama, cuma sebutan perkataan yang dilabel dakwah.

Jika dahulu, banyak kehitaman dapat dikenali dengan mudah dan ditolak mentah-mentah, hari ini banyak percampuran yang telah membuat kita serba-salah.

Lalu kita terduduk, terpelanting jauh bingung dengan banyak kejutan masalah yang tak pernah kita duga. Kenapa perubahan demi perubahan yang nampak baik, seolah tidak membuat apa-apa islah?

Salah Tanggap

Barangkali kita sudah salah memahami ajaran agama Islam yang kita panuti sejak dari awal dilahirkan ke dunia. Jika kita fikir kita selesai sebaik mengucap syahadah, maka kita telah silap perkiraan. Jika kita rasa kita sudah tidak perlu berusaha untuk berfikir apabila kita berpakaian menutup aurat, mendirikan solat wajib, bersedekah pada setiap Jumaat, mengaji dua muka surat saban hari, kita telah salah tanggapan.

Islam ialah ajaran tauhid; meyakini bahawa Allah swt satu-satunya Tuhan, menafikan semua bentuk penyembahan yang lain. Iya, nampak mudah. Namun penjelasan terhadap pengertiannya, masih terlalu luas dan menuntut kemampuan insan untuk berfikir dan merenungkan, berpandu wahyu yang dikurniakan.

Sebuah besi buruk tidak akan jadi emas, hanya dengan saduran emas di luar. Ia harus dileburkan, diganti dengan emas yang sebenar, barulah nilainya akan berada pada tahap yang berharga.

Lalu kita bertanya, adakah Islam menafikan budaya dan kehendak manusia yang kadangkala mahu berlibur, mahu nampak cantik, mahu kaya dan bebas dari belenggu kewangan, mahu diterima oleh semua?

Untuk menjawab soalan ini, kita harus kembali kepada akar persoalan.

Adakah persoalan itu terbit dari nafsu yang menuntut dipenuhi; sebagaimana segolongan Yahudi ketika dilarang melakukan aktiviti keduniaan pada hari Sabtu, mereka dengan kreatifnya meninggalkan pukat bagi memerangkap ikan yang sangat banyak pada hari tersebut dan berharap untuk mendapat habuan lumayan pada keesokan hari?

Tidak semua kehendak harus dilayan apabila ia bertentangan dengan nilai-nilai Islam, sebab ajaran kebenaran tidak meletakkan nilai melainkan untuk kebaikan dan kesejahteraan individu dan masyarakat secara keseluruhan.

Apabila Islam datang ke dalam masyarakat Jahiliah Arab, ada budaya yang dibetulkan, misalnya budaya terjah rumah orang tak minta izin dahulu. Al-Qur’an mengajarkan; adab-adab berkunjung ke rumah orang – minta izin, jangan pandang ke dalam, ketuk pintu, beri salam. Ada juga budaya yang terus dikekalkan dan diperkemaskan, seperti menghormati tetamu, meraikan musafir di perjalanan dan lain-lain.

Periferal

Saduran-saduran islamik tanpa kefahaman yang benar-benar jitu, hanya menyebabkan kemelut kita lebih berkecamuk, sebab ia hanya bermain-main dengan simptom tanpa menguruskan punca kepincangan yang sebenar.

Semakin kita meluangkan masa di situ, semakin jauh kita dibawa arus. Semakin kita curahkan tenaga dan fokus di sekitar periferal tanpa sebarang keberanian untuk menuju ke pusat kefahaman, semakin sia-sia tindak tanduk dan perbuatan, sedangkan kita tidak semakin hampir kepada nukleus kebenaran.

Kata seorang genius, “kegilaan ialah melakukan sesuatu dengan cara yang sama berulangkali namun mengharapkan keputusan yang berbeza.”

Sudah tiba masanya kita berhenti.

Kepincangan yang kita lihat bukan semudah yang nampak di permukaan. Dunia ini lebih besar dari sekadar menyuakan lagu cinta islamik untuk generasi yang menggilai penyanyi jadian, atau menyua lirik ketuhanan terhadap lagu asal girl/boy band yang menari separuh telanjang. Ada punca permasalahan yang lebih dalam dari “junk food lebih mahal dari makanan sebenar sebab ekonomi sedang gawat.” Lebih rumit dari “harga rumah makin mahal jadi kita perlu kerja keras siang malam”, dan “kos hidup makin mencengkam jadi kita harus bina empayar perniagaan dengan apa sahaja cara asal berkesan”.

Ambillah masa untuk memahami. Kumpul keberanian untuk keluar dari arus kebejatan, dan melangkah menuju kebenaran.

Tegas tidak bermaksud jumud. Pahit tidak bermaksud buruk. Keras tidak bermaksud tiada ruang berlembut. Jika kita benar tulus mencari, Tuhan pasti menunjukkan jalan. Mulalah dari gagasan kebenaran yang RasululLah صلى الله عليه وآله وسلم tinggalkan, perhatikanlah teladan kesempurnaan dari Sayyidaats, kita akan menemui khazanah jawapan.

It’s not easy. Certainly.
It’s a struggle. A real struggle, indeed.

Sebab kehidupan kita tidak akan berhenti di dunia ini. Jauh lagi perjalanan selepas mati. Adakah kita mahu meneruskan perjalanan selepas mati dengan secetek kefahaman yang tidak pernah kita perbaharui sejak belajar Fardhu Ain terakhir kali semasa tak mampu mengelap hingus di hidung sendiri?

Jangan sampai disebabkan kita disibukkan urusan menyadurkan label islamik pada segenap perkara tanpa memerhati makna kebenaran, sepuluh ke dua puluh tahun akan datang, generasi anak-anak kita tidak lagi canggung tatkala kelab malam islamik, disko islamik, rumah pelacuran islamik didirikan.

Life is a struggle, but let’s all struggle for the right thing, the right way.

(وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِالْحَقِّ لَمَّا جَاءَهُ ۚ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكَافِرِينَ (68

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir ?

(وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (69

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami ; dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki.

Nota: Bahagian 1 ditulis lima tahun lampau, saat masih bergelar mahasiswa tahun dua di universiti Islam: https://niknurmadihah.dukkanmaya.com/anak-muda-dan-agama/