
Muharram tiba, tahun bertukar hujung. Namun bagaimanakah pertukaran itu mengubah kita yang tetap membutakan mata dari kebenaran yang sedang menguis hidung?
Setiap hari, kita bangun, menghirup nafas tanpa perlu diatur, memulakan rutin mencari rezeki, memenuhi rutin dan jadual yang sudah disusun.
Di alaf ini, kita sudah memesrakan diri dengan banyak perkara asing yang dipanggil kebiasaan baru. Kita perlu laju, berpacu dengan waktu agar tidak ditewaskan peredaran masa. Maka kita memeluk segalanya yang disua. Kita menyerahkan segalanya, agar tidak ketinggalan.
Dunia, dunia, dunia memanggil. Wahai yang masih muda, yang sedang mekar, yang sedang segar, ke mari, rebahlah di kakiku, akan kuberikan segala yang kau mau. Wahai sang pintar, si cerdas, sang cantik, si cergas, ke mari, akan kuhadiahkan seluruh kegemilangan ini untukmu. Seluruhnya untukmu. Hanya untukmu.
Dan kita akhirnya sedikit demi sedikit, hanyut dibawa arus, tidak lagi melihat ke belakang. Kerana kita disogokkan, melihat ke belakang hanya mengundang malang.
Pertukaran tahun, tidak lagi membawa apa-apa erti, melainkan sambutan dan pesta keramaian, bertukar-tukar ucapan, dan esok tetap sama, seperti semalam, hanya impian dunia lebih jelas kelihatan.
Dalam jiwa ada kelompongan
Seseorang bertanya, “apa salahnya kecantikan yang patuh syariah dipaparkan demi tujuan menyebar kebaikan?”
Tidak salah, manusia memang dicipta menyukai yang indah-indah, hanya saja, sejauh mana syariah difahami untuk dilabel sebagai patuh?
Benarkah tujuan kebaikan tidak tercemar dengan kehendak nafsu dalam diri, yang punya sejuta satu alasan untuk membenarkan apa sahaja demi kepuasan tak berkesudahan?
Dalam jiwa manusia, ada kelompongan yang tidak akan dapat diisi melainkan dengan dua perkara besar yang ditinggalkan RasuluLlah SAW. Ada kekosongan yang tidak akan dapat dipenuhi, melainkan dengan membuka mata dari lena terlalu panjang dan melihat kebenaran dengan pandangan penuh sedar.
Sudah pelbagai fasa jatuh bangun dilalui, untuk sampai ke kesedaran dan kefahaman ini. Ia tak mudah, sangat susah. Melawan diri yang telah terlalu lama enak diulit mimpi indah.
Namun lekok hidup yang pelbagai, memberikan keberanian luar jangka untuk berhadapan dengan diri sendiri.
Banyak orang bertanya dan mencadang, “buatlah video, macam sekian sekian fulan,” atau “awak pandai menulis, sambunglah pengajian, supaya sekian sekian..”
Dunia dahulu memang memancing-mancing, umpannya pun bukan sebarangan. Kami sedang membangunkan perusahaan sendiri, lagi-lagilah ia memanggil-manggil, “Ini peluang keemasan.”
Tetapi sejauh ini kaki telah melangkah, hadiah kesedaran ini tidak ada galang ganti. Karunia ini tidak akan dijual beli. Cukuplah sekali sahaja dibiar tanpa kendali, mencari jati diri dari kepura-puraan yang tidak selesai.
Apa lagi yang tinggal di dunia sementara? Orang beriman hatinya sentiasa diselaput kesedihan, mengenang dosa dan kepincangan.
Ia tak mudah. Terlalu faham.
Kita hidup tak lama, keindahan yang kita rasa juga sementara. Tapi kita boleh pilih untuk rasa keindahan yang kekal selamanya, apabila kita dahulukan kebenaran di sisi Ilahi, daripada ikut-ikutan yang tiada erti.
Pilihan adalah pertanggungjawaban
Sebagai insan yang memilih hidup berTuhan, kita tidak akan dapat memisahkan kebaikan dari kebenaran. Tidak ada makna sebuah kebaikan tanpa kebenaran, kerana hanya kebenaran yang akan abadi sehingga selepas kematian.
Maka sebuah kebaikan yang didasari kebenaran, harus dipisahkan dari sebarang bentuk pemujaan peribadi yang tertakluk kepada kekurangan dan penonjolan rupa bentuk yang menarik perhatian. Supaya kita tidak salah sangka dan terjatuh ke perangkap syaitan.
Dunia akan kiamat, dan ia akan dipersiap menghadapi hari-hari kepincangan untuk menyambut kedatangan sang Dajjal. Kita akan menjadi penyumbang. Setiap tindak tanduk dan pilihan kita hari ini, akan membentuk masa hadapan. Jangan fikir kita selamat hanya kerana kita masih belum temui makhluk dengan tanda kaf-fa’-ra’ di atas dahi.
Setiap pilihan kita akan meninggalkan kesan – pilihlah samada mahu tinggalkan kesan kepada memesrakan kepincangan, atau menentang kebatilan.
Di akhir zaman, kebejatan berleluasa, fitnah menguasai suasana, yang baik dipandang buruk, yang buruk dipandang baik. Manusia tidak lagi mengenal moral, yang disembah hanya hiburan yang memuaskan serakah, apa kita fikir semua itu terjadi tiba-tiba?
Sebuah bangunan tidak muncul, tanpa batu bata yang membina. Sebuah lebuh raya tidak siap, tanpa kerikil-kerikil kecil yang digabung bersama.
Begitulah kebobrokan akhir zaman, tidak akan muncul melainkan ada golongan yang menyiapkan. Kita boleh pilih, untuk bersama dengan golongan yang menyiapkan kebobrokan, atau dengan golongan yang melawan.
Kerana pilihan, adalah pertanggungjawaban yang hanya kita dapat selesaikan apabila diadili pada Hari Penghisaban.
Dan Kitab-kitab (Amalan) juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.
(Al-Kahfi: 49)