
Dalam sebuah pertempuran yang tercetus oleh fitnah, seorang pahlawan agama berhadapan dengan sekumpulan tentera yang dipimpin seorang wanita.
Setelah beberapa tempoh pertempuran berlangsung dan tiada tanda-tanda reda, pahlawan berkenaan mendapat ilham.
Dihantarnya seorang tentera dari pihaknya untuk menjatuhkan ketua perempuan tersebut dari kenderaan tunggangan. Tatkala jatuh, wanita berkenaan berkata, “berani kau menyentuh diriku!”
Lalu dibuka penutup muka, “aku adalah adik lelakimu, kak…”
Pertempuran selesai dan kumpulan yang dipimpin wanita berkenaan kalah dan harus berundur. Pemimpin tadi menghantar sekumpulan tentera yang menutup muka untuk mengiringi wanita berkenaan pulang semula ke kota halaman.
“Bagaimana mungkin aku sendirian diiringi para tentera lelaki seperti kalian?”
Lalu mereka membuka penutup muka masing-masing, “kami semua perempuan, sepertimu..”
Begitu ketinggian moral yang ditunjukkan oleh Islam, hatta dalam hal peperangan yang dipimpin oleh seorang pahlawan yang menggenggam teguh kesempurnaan ajaran Muhammad, Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam.
Budaya Baru
Manakala hari ini, para lelaki termasuk yang bergelar ‘agamawan’ tidak lagi mempunyai ketinggian peribadi yang sama dalam melindungi kehormatan seorang perempuan.
Wajah-wajah bersih para wanita disebar-sebarkan dan dikongsi-kongsikan bersepah lewat keterbukaan media sosial.
Barangkali atas alasan, “eh mereka yang pilih untuk muatnaik gambar masing-masing, apa pula salahnya saya screenshot dan kongsi? Apa pula kaitan dengan kehormatan?”
Begitu rendah masyarakat telah hilang sensitiviti.
Mana mungkin kita nafikan potret-potret dan video gedik dan comel para perempuan yang melata di atas talian adalah sebahagian dari kehormatan para perempuan?
Wajah-wajah sejernih itu, kalau dahulu hanya boleh dipandang apabila bertemu empat mata, itu pun belum jelas lagi garis senyumnya dek kerana jarak berdiri antara dua manusia.
Tetapi hari ini, tidak perlu lagi pertemuan secara fizikal. Para perempuan dengan sukarelanya memaparkan wajah-wajah mereka dengan sangat dekat dan nyata sekali untuk tatapan semua.
Apabila seorang ratu telah menyerahkan dirinya, apa lagi yang perlu diusahakan oleh seorang putera raja mahupun hulubalang samada yang berniat baik ataupun buruk terhadap dirinya?
Kita tak perlu bincang soal kegagalan para perempuan menjaga diri dalam tulisan kali ini, sebab itu telah disinggung banyak kali dalam tulisan lain dan kita boleh buka gelanggang yang lain untuk membincangkan hal berkenaan secara khusus pula.
Kerana soal yang utama untuk kali ini adalah; kelelakian yang kian terhakis hari demi hari, samada secara kita sedari atau tidak.
Kepemudaan Kian Terhakis
Dalam peristiwa tadi, telah nyata tergambar bagaimana seorang lelaki harus bersikap walau terhadap seorang perempuan yang barangkali telah tersilap perkiraan.
Begitu juga sepatutnya, para lelaki hari ini harus bersikap terhadap para perempuan yang dilabel murahan, sesat, biadab dan kurang ajar sekalipun. Bukan sewenang-wenangnya ‘berkenduri’ mengutuk, bercakap yang tidak sopan, mencaci dan menghina atas justifikasi “dia perempuan jahat.”
Ada kalanya, gurau-gurauan picisan berlegar di sekitar batang tubuh seorang perempuan. Bahkan dalam hal seserius membuktikan kewujudan Tuhan. Dikaitkan dengan lagu rancak yang seorang artis perempuan menari terloncat-loncat di hadapan masyarakat awam.
Bagaimana semudah itu para lelaki kita boleh hilang kepemudaan masing-masing? Sehinggakan dalam situasi yang sepatutnya berupaya untuk berdiri tegak memperjuangkan mesej kebenaran?
Kita telah terlalu lama disihir budaya-budaya baru di media sosial sehingga kita tidak sempat menggunakan akal fikiran untuk mempertimbangkan yang mana baik, yang mana buruk untuk diri sendiri dan generasi akan datang.
Kesimpulan
“Para orang tua berpesan kepada anak-anaknya agar menjaga syaraf dan menghidupkan ghirah. Jaga adikmu. Ingatlah semua yang memakai kutang dan berambut panjang adalah saudaramu dan ibumu.”
— HAMKA, Ghirah, Cemburu kerana Allah.
Namun, apakah yang boleh diharapkan apabila kemuliaan itu sendiri telah tertanggal hatta terhadap adik perempuan, saudara perempuan bahkan ibu masing-masing juga?
Kelelakian itu terkandung padanya sifat keberanian, melindungi, kehormatan, dan kebijaksanaan mengemudi zaman.
Para perempuan kita barangkali memang telah banyak yang harus keluar ke medan dan beraktiviti di tengah masyarakat, tetapi para pemuda tidak seharusnya mengambil hal tersebut sebagai alasan untuk bermudah-mudah dalam melindungi kehormatan mereka sekalipun yang tidak punya pertalian.
Teladanilah kisah Nabi Musa ‘alaihissalam yang melindungi dua orang anak perempuan Nabi Syu’ib tatkala masyarakat di sekeliling mereka tidak peduli pun untuk memperhatikan.
Sebab melindungi kehormatan seorang perempuan bermaksud melindungi kehormatan seluruh generasi yang bakal mewarisi kefahaman hidup berTuhan.
Dan mempertahankan kelelakian yang sejati, bermaksud mempertahankan kepemimpinan yang bakal menentukan hala tuju kemanusiaan.
وَعُرِضُوا۟ عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّۭا لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَـٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍۭ ۚ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّن نَّجْعَلَ لَكُم مَّوْعِدًۭا ٤٨
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur: “Kamu sekarang telah datang kepada Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu.
وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلْكِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةًۭ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا ۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًۭا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًۭا ٤٩
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.
[Surah Al-Kahfi : 48-49]