Saya menyelak helaian Kembara Menalar Diri, dan ayat pertamanya berbunyi “Ketika usia diri mula menjengah angka 40, kita menjadi cemburu dengan masa. Zaman mencuba-cuba seperti sudah berlalu.”

Hanya 9 tahun lagi sebelum saya juga memasuki era tersebut. Angka sembilan, selalunya angka keramat untuk saya. Mungkin juga ia bermakna tempohnya akan sempurna. Selesai tugasan di dunia, berangkatlah ke alam seterusnya. Namun, tidak bermakna hari yang ada boleh diambil wenang-wenangnya.

Sejak arwah KL meninggal dunia, banyak perkara yang harus saya pelajari semula. Banyak kebiasaan yang telah pun saya tinggalkan sejak berkongsi hidup dengan arwah terpaksa dilalui semula.

Ia terlalu sukar pada awalnya, tetapi setiap kali saya pejamkan mata dan membayangkan arwah mengusap kepala membujuk seperti selalu, saya disuntik kekuatan.

Saya tahu saya perlu tetap memperjuangkan jalan yang telah kami rakit bersama.

Kita semua manusia biasa.

Tapi entah kenapa, ada sebahagian dari kita yang memaksa diri sendiri ke hadapan untuk berkongsi dengan masyarakat lainnya, manakala sebahagian yang lain bermudah-mudah di atas keselesaan diri dan keluarga sahaja?

Persoalan yang saya pernah utarakan berbelas tahun lampau akhirnya diselesaikan juga.

Apabila seseorang mengambil keputusan untuk berkongsi dengan sepenuh keikhlasan dan kejujuran yang berandal kebenaran, ujian yang akan tiba pasti tidak mudah, tidak kira pada usia berapa pun ia sedang berada. Samada pada usia mentah yang baru ingin mengenal dunia dewasa, atau sedang di pertengahan kedewasaan, atau bahkan di hujung kematangan.. kita semua masih dalam samudera kehidupan yang sama.

Lautan hidup tetap bergelora, badai dan taufan tetap sedang melanda, ujian demi ujian datang dari arah yang tidak disangka-sangka.

Maka, selaku sebahagian dari mereka yang membuat pilihan ini, saya perlu menegaskan buat kesekian kalinya agar fokus kepada perkara yang tepat.

Tumpukanlah perhatian dan tenaga kepada perkongsian tersebut, bukan kepada sosok peribadi yang berkongsi. Jika betul kita hargainya, berilah ruang untuk mereka juga menjadi manusia yang ada ketikanya perlu berhadapan dengan kelelahan dan keserabutan dalam kepala.

Anda tidak dapat bayangkan betapa perang dalam diri sentiasa berusaha untuk merajai kewarasan seorang yang menyanggupi perkongsian demi manfaat yang lebih besar.

Dan sebagai seorang perempuan di wilayah ini, saya faham benar cabarannya lebih sulit dan sukar diduga. Ada bahagian-bahagian kerapuhan yang memang tidak sama. Tapi tak mengapa, semoga dengan tawfiq dan inayah Allah, berbekalkan pengalaman sembilan tahun bersama arwah akan dijadikan panduan, sentiasa.

Dalam satu pertemuan dengan seorang tokoh terkenal semasa di usia remaja, beliau mempertanyakan impian masing-masing. Semua orang menjawab dengan jawapan yang hebat-hebat. Sementara saya hanya mengatakan, “Saya ingin jadi orang biasa yang melahirkan orang-orang yang luar biasa.”

Beliau kelihatan kaget dengan jawapan tersebut. Entah apa beliau fikir terhadap budak kolej yang sudah di tahun akhir bakal ke luar negara ini, membawa impian sebegitu.

Manakala saya tetap terbang sebagaimana yang diaturkan, mendarat di Lapangan Terbang Heathrow dengan menyematkan ikrar tersebut.

Konflik dalaman yang lama dibisukan, terurai sedikit semasa berprogram yang turut disertai UHAJ.

Tidak lama selepas sapaan ringkas tersebut, saya buat keputusan besar sekali lagi. Pulang ke tanah air dan akhirnya berada bersama adik-adik, menjaga umi sepanjang setahun beliau bertarung dengan sakit paru-paru kronik.
Orang kata, hidup kita dicorakkan oleh ujian-ujian yang datang.

I beg to differ. Sebab ia hanya memberikan ruang kemalasan berfikir dan bermuhasabah kepada orang-orang yang hidupnya kelihatan seperti tidak ditimpa ujian.

Hidup kita dicorakkan oleh pilihan-pilihan yang kita buat, samada secara sedar atau tidak. Pilihan yang kita buat, akan berpasangan dengan takdir Tuhan untuk memandu jalan kita ke hadapan.

Jika pilihan yang kita buat dipasakkan dengan keimanan dan kepercayaan kepada Ilahi, takdir akan menyambut pilihan tersebut dan menuntun kita menuju kebenaran.

Jika sebaliknya, jangan salahkan takdir jika kita semakin terpesong dari landasan dan mendekati daerah kebatilan.
Sebab kita perlu bertanggungjawab di atas semua pilihan dan keputusan yang kita ambil. Baik atau buruk natijahnya, kembali kepada bagaimana kita memberi erti.

Semoga perjalanan kehidupan kita di muka Bumi ini tidak sia-sia; datang dan pergi tidak meninggalkan jejak apa-apa.
Kita tidak perlu ribut-ribut mengesankan seluruh dunia.

Memadailah kita berusaha sedaya upaya untuk meninggalkan benturan yang berguna untuk sebuah kemanusiaan yang lebih sejahtera dan gagasan kebenaran yang lebih sempurna.

أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَانُوٓا۟ أَكْثَرَ مِنْهُمْ وَأَشَدَّ قُوَّةًۭ وَءَاثَارًۭا فِى ٱلْأَرْضِ فَمَآ أَغْنَىٰ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ٨٢

Ter: Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)? Orang-orang itu lebih ramai dari mereka, dan lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Dalam pada itu, apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya sedikitpun.
[Surah Ghafir : 82]

Pada akhirnya, saya masih seorang yang belum berhenti bertanya.

Semakin saya gali, semakin banyak kejahilan pada diri yang saya temui.

Dan setelah pelbagai siri kematian orang terdekat yang harus saya harungi, saya kini semakin yakin bahawa kematian bukanlah sebuah penghujung, tetapi sebuah permulaan kepada perjalanan baru yang pastinya lebih mengujakan dengan syarat kita sudah membiasakan diri dengan perjalanan mengenal Ilahi sejak di ranah duniawi.

Wallahu a’lam.

اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ

“Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan keimanan, dan jadikanlah kami golongan yang mendapat hidayah (petunjuk) dan menyebarkannya pula kepada orang lain.”