(Sebuah dedikasi untuk Rabi’ul Awwal, bulan sambutan kelahiran Insan Teragung Habib Al-Rahman)

Prolog

“Laqad..laqad..ka na lakom fi Rasululla..hiushwatun hasana,” getaran kalimat yang tersekat-sekat itu terlontar juga akhirnya dari bibir seorang politisi yang pertama kali memetik ayat Al-Qur’an dalam ucapannya. Bagaikan tidak mesra. Tidak menyatu bersama aliran darah yang teruja dipacu adrenalin menuju lidah bercabang, menggemakan pidato yang sungguh canggung di telinga.

Hanya sekali ini. Politikus itu perlu menangi hati rakyat yang sedang heboh dengan isu melayu Islam dan kedaulatan yang makin tergugah, maka dia tahu ayat itu sebaik-baik sandaran untuk menghiasi kredibiliti diri.

Biarpun satu-satunya keadaan di mana dia menuruti sunnah (itu pun sunnah yang dilabelkan sendiri), ialah pada hal berkahwin lebih dari seorang. Sebenarnya dia lupa bahawa sunnah yang pertama ialah monogami, kemudian barulah poligami, yang dilaksanakan apabila terdapat keperluan yang syar’ie.

Tetapi politikus itu buaya cauvinistik pemuja patriarki paling jaguh, apa dia peduli yang mana betul yang mana salah. Isteri-isteri di rumah belum mampu dinafkahi secukupnya, dia sudah berjoli mencari mangsa seterusnya di luar. Anak-anak dibiarkan membesar tanpa sentuhan perhatian seorang bapa, sedang dia menjuarai ‘masalah rakyat’ di kempen-kempen pilihan raya.

Manakala mereka yang mengenali lelaki itu luar dalam, menyumpah seranah dalam hati sebaik mendengar ucapan yang bikinnya tidak serupa.

Disebabkan manusia-manusia seperti inilah, banyak orang memandang enteng terhadap perintah Tuhan untuk mengikuti jejak pesuruhNya. Tanpa disedari, setiap perkara yang dikatakan sunnah, menjadi sesuatu yang diselaputi pelbagai konotasi negatif dan mengundang pandangan skeptikal. Sedikit demi sedikit, masyarakat mulai menjauh dari Pesuruh Tuhan yang sepatutnya menjadi pusat petunjuk dalam jalan menuju kebahagiaan yang berkekalan.

Ini adalah sebuah perkongsian sederhana, tentang mustahaknya peranan kerasulan dalam hidup seorang insan sehingga ke hari ini. Meskipun Rasul Terakhir telah wafat seribu empat ratus tahun lampau, kewujudan baginda sentiasa menjadi paksi pada setiap ketika, sejak dari awal Nabi Adam ‘alaihissalam dicipta sehingga ke manusia terakhir yang wujud di dunia.

Orang Kehilangan Ialah Mereka Yang Mencari

Setiap orang yang telah/pernah kehilangan dirinya, seringkali adalah mereka yang melalui perjalanan untuk mencari. Barangkali mencari erti kejayaan,kemewahan, keindahan,ketenangan dan kebahagian. Sebuah pencarian yang sibuk dan mengasyikkan, mengambil perhatian dan memenatkan mental dan spiritual, sehinggalah satu detik, mereka bagaikan terjaga. “Eh, apa yang aku buat ni?” Lalu, mereka mulai memperlahan langkah, menoleh kadangkala ke belakang, memandang beberapa cebisan diri yang tertinggal, menyesali beberapa pemergian yang tidak sempat dihantar dengan sepenuh perhatian, dan bertanya kepada pantulan di cerminan, “Siapa sebenarnya saya?”

Seseorang tidak akan mengenali dirinya, jika tidak mengenal Pencipta. Seseorang juga tidak akan mengenali Pencipta, jika tidak mengenal dirinya. Oleh itu, dalam hal kehilangan diri yang sudah tidak lagi mampu dikenali, langkah pertama yang harus diambil ialah dengan mengenali Pencipta. Sebab Pencipta tidak pernah hilang; sentiasa ada cara untuk melihat bukti kebesaran dan keluasan kasih sayangNya.

Apakah jalan yang lebih baik untuk mengenali Pencipta, selain dari jalan yang ditunjukkan oleh Kekasih Ilahi, yang diciptakan sebagai semulia-mulia makhluk – keindahannya sempurna, terpancar nur dari dalam sanubari sehingga ke seluruh semesta, menebar cahaya kebenaran sebagaimana perintah Tuhan?

Baginda Sendiri Adalah Risalah

Untuk seseorang yang kehilangan diri sendiri, cantumkanlah semula cebisan-cebisan yang bersisa dengan gabungan yang lebih baik dan bermakna .

Tak perlu terlalu diberatkan beban-beban psikologi sebagai seorang introvert, extrovert, ambivert atau kantung-kantung temperament melankolik, kolerik, sanguine dan flegmatik, sebab diri seorang insan lebih besar dari semua deskripsi-deskripsi eksperimental yang bersifat empirikal.

Tidak ada kaedah campur darab tolak bahagi yang berhak menguasai diri insan lalu memutuskan langkah yang wajar diambil untuk bergerak lebih sejahtera, lebih dari neraca yang telah diposisikan oleh Ilahi dengan sempurna.

Sebaliknya, letakkanlah Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam pada tempatnya semula, sebagai satu sosok yang penting di hati kita, satu acuan kebahagiaan yang sempurna pada setiap ruang dan suasana. Seseorang yang mengasihi kita, sebelum kita mengasihinya. Seseorang yang mahukan kebaikan untuk kita, sebelum kita menginginkan kebaikan untuk diri sendiri.

Seseorang yang bertoleransi dengan semua sikap dan kedegilan ummat manusia, agar rahmat dirinya dinikmati oleh seluruh buana.

Sebab itu, penting untuk memahami bahawa Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam bukan sekadar ‘penghantar risalah kebenaran’.

Seorang penghantar surat misalnya, hanya bertugas untuk menyampaikan surat. Dia tak perlu ambil tahu apa isi surat yang dibawa, atau samada dirinya selari dengan mesej yang terkandung dalam surat berkenaan.

Tidak seperti itu, Baginda (SAAW) sendiri adalah risalah yang diutuskan oleh Tuhan. Maka, jika kita mengakui kesempurnaan risalah yang dikirim Tuhan, kita juga harus mengakui bahawa kesempurnaan Rasulullah (SAAW) adalah nyata pada setiap keadaan. Hanya kita yang mungkin kadangkala dangkal memahami atau belum bersedia untuk mengerti.

Al-Qur’an ialah pedoman dari Ilahi, wahyu yang disampaikan.

Manakala, baginda (SAAW) adalah Al-Qur’an yang berjalan; akhlaknya, keperibadiannya, kepimpinan dan keteladanannya, kesehariannya; makan, minum, muamalat dan traksaksi sosial, setiap satunya adalah manifestasi ajaran dari kalam Ilahi yang terjelma sebagai panduan hidup untuk semua orang tanpa mengira latar belakang.

Oleh itu, waspadailah racun-racun Iblis, kerana ia akan terus berusaha membuatkan kita melihat Rasulullah (SAAW) sebagai manusia yang juga berbuat onar dan tersalah langkah atau keputusan. Ketidaksempurnaan yang kita pandang remeh lalu kita justifikasikan dengan seribu satu penjelasan yang kita reka sendiri atau warisi, adalah lohong-lohong kemungkaran yang akan terus dibesarkan oleh Taghut agar kita makin menjauh dari kebenaran.

Epilog

Banyak hal yang kita kejar selama ini, sebenarnya tidak lebih dari fatamorgana yang telah diperingatkan pun daripada awal oleh baginda (SAAW).

Banyak sisi emosi dan spiritual yang mengelirukan dan membelit diri kita sebenarnya telah pun dijelaskan dan dihuraikan oleh baginda (SAAW).

Kita hanya terputus hubungan dengan diri sendiri kerana telah mengabaikan peranan kekhalifahan yang Tuhan taklifkan, lalu kita penuhi kehidupan dengan urusan-urusan mengejar kemahuan dan nafsu duniawi yang kadangkala dipakaikan baju ukhrawi. Kita mungkin menipu orang lain, tetapi kita tidak boleh menipu diri sendiri dan Tuhan yang Maha Mengetahui.

Maka, Rabi’ul Awwal yang datang setahun sekali, harus menjadi satu tempoh yang kita manfaatkan untuk mengenali semula diri sendiri menerusi kerangka kebenaran yang diteladankan oleh Penghulu Para Nabi.

Telusurilah jalan hidup baginda (SAAW), nescaya akan ditemukan kekuatan untuk mengenali diri sendiri. Renungilah maksud dan pengajaran, hayatilah dengan jiwa penuh perasaan. Jangan sekadar buka buku dengar kuliah dengan jiwa yang gersang.

Perasaan ini tidak boleh dibuat-buat, sebab ia terbit dari kefahaman. Jika tidak didapatkan kefahaman dari satu penjelasan, ikhtiarkanlah penjelasan yang lain dan lebih nyaman di fikiran dan pertimbangan meskipun berbeza aliran. Ukurlah jawapan yang dikemukakan dengan Al-Qur’an, kerana ia adalah satu-satunya kitab yang menyimpan khazanah hidayah dan dijanjikan terpelihara dari awal hingga ke hujung dengan bait-bait suci dari Tuhan.

Banyak orang boleh bercerita, berandai-andaian, berpanglipur lara dari kisah-kisah kenabian dan beromantisan dengan sejarah silam. Seperti kisah politikus tadi, ingat, ‘kan?

Kita jangan jadi mangsa kejahilan sendiri dan golongan berkepentingan.

Kesempurnaan sosok baginda tidak pernah berkurangan, walau seluruh dunia gagal mencerna bahkan menolak hakikat kejadian Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam. Tetapi, golongan yang ingkar dan mengambil mudah, merekalah yang mengalami kekurangan dan menanggung kerugian dari kesombongan yang tidak ada siapa paksakan.

Rabi’ul Awwal akan pergi, dan kita akan terus menggelintar di persada kehidupan. Jangan biarkan ia membawa pergi juga ingatan kita terhadap kepentingan mendekati Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam dalam setiap hembus nafas sebagai hamba Tuhan.

Tidak ada kecintaan yang dituntut oleh Allah Subhanahu WaTa’ala seberat tuntutan cinta terhadap PesuruhNya, Muhammad ibn Abdullah ibn ‘Abdul Mutalib sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam.

49:7
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; –
49:8
sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

[Surah Al-Hujurat: 7-8]

اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم إنك حميد مجيد، اللهم بارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم إنك حميد مجيد

#DukkanMaya #inpursuitofconnectedness #rabiulawwalreignite

Jum’at | 29 Rabi’ul Awwal 1443H | 5 November 2021