Permulaan
Ada satu soalan yang sudah lama ditanya dan belum berkesempatan untuk dijawab dengan tenang.

Siapakah idola dalam bidang penulisan?” dan juga yang senada dengannya, “Siapakah penulis kegemaran?

Barangkali soalan-soalan sebegini terlintas di benak fikiran pembaca yang membaca tulisan-tulisan selepas Noktah Terjahit dibukukan pada tahun 2017.

Sebenarnya, agak tidak adil untuk bermula selepas Noktah Terjahit diterbitkan. Sebab perjalanan ini bermula lebih awal, jauh sebelum pena diangkat selepas kembalinya arwah bonda ke sisi Ilahi yang Maha Penyayang.

Ia bermula dengan peluang dan ruang yang ditawarkan untuk beraksi di pentas-pentas ceramah, motivasi dan pengucapan awam. Ketika itu, pena tidak pernah perlu diangkat, maka wadahnya ialah penyampaian cerita dan kisah pembelajaran, pencapaian, kejayaan. Sehinggalah Tuhan mentakdirkan semuanya harus dihentikan kerana terdapat urusan yang masih belum diselesaikan.

Semua perhatian dan tawaran ditinggalkan serta-merta demi sebuah kejujuran. Pencarian kebenaran yang tidak ada siapa faham. Hanya Ilahi sebaik-baik sandaran, Dia mengaturkan jalan yang tidak pernah hadir dalam jangkaan.

Lalu Tuhan menghadiahkan wadah yang baru, selepas pengalaman demi pengalaman dan latihan demi latihan yang telah dilalui untuk mempersiapkan.

Bermulalah satu perjalanan baru di medan penulisan.

Kenderaan
Sebagaimana pembacaan hanyalah kenderaan untuk tiba ke destinasi, begitulah penulisan cumalah alat untuk mencapai tujuan. Tujuan ini ditetapkan dengan teguh diandal prinsip-prinsip yang telah ditapis, disemak imbang dan akhirnya dipilih sebagai pegangan. Maka, tujuan senantiasa lebih utama dari alatan dan kenderaan.

Tujuanlah yang menentukan bagaimana pena harus menari, bila dakwat harus tumpah, di mana ia perlu dihasilkan. Bukan sebaliknya.

Tujuan ialah sesuatu yang suci, memenuhi tuntutan persoalan ‘kenapa’, manakala hal-hal lain cumalah perkara-perkara mekanikal yang bisa berubah seiring keperluan dan keadaan.

Jika suatu hari nanti suasana tidak lagi berpihak kepada kegiatan menulis, tujuan akan membuat insan berikhtiar mencari jalan. Tidak ada yang dapat menampan tujuan yang murni dari diusahakan, sebab tujuan yang hakiki terbitnya dari kecintaan hidup berTuhan.

Substance
Seorang yang sudah jelas dengan tujuannya, baik dalam penulisan atau pekerjaan lain, wajib mengenal dengan jelas ‘substance‘ yang ingin disampaikan. ‘Substance‘ ini haruslah utuh dengan mesej-mesej keluhuran, keindahan, kebaikan dan kebenaran, juga kesempurnaan. Semakin holistik sesuatu ‘substance‘, semakin kuat sesebuah penulisan yang dipersembahkan.

Substance‘ ini tidak perlu dianyam dengan pengalaman peribadi penulis, meskipun cerita-cerita peribadi seorang penulis lebih mudah mendapat sambutan.

Maka, saat para pembaca mulai menaburkan kata pujian dan sanjungan, belajarlah untuk memperbetulkan. Ajak pembaca untuk fokus kepada intipati yang ingin diajukan. Tulisan ini jadi indah kerana sempurnanya panduan yang sudah diberi oleh Tuhan kepada seantero alam. Ia adalah kurniaan untuk semua orang, bukan hanya sang penulis yang merakam. Bersama-samalah kita ingat-mengingatkan untuk menghargai kesempurnaan dan keseimbangan yang dibentuk oleh kasih sayang Tuhan.

Sesebuah tulisan mungkin sahaja dipengaruhi cara fikir individu yang menulis, namun sebagai pembaca, tugas kita hanya meneliti kebenaran yang diutarakan. Manakala sebagai penulis, tugas kita hanya memastikan diri tidak diletakkan sebagai subjek yang mahu diperhatikan.

Kompas
Seringkali kita mengira bahawa kita harus mencari petunjuk dari insan yang terlihat sempurna pada kaca mata manusia, sedangkan Tuhan telah mengurniakan barisan keteladan demi keteladanan sebagai cahaya yang menerangi kegelapan.

Cahaya ini telah lama cuba dipadamkan oleh banyak tentera-tentera iblis yang cemburu, membuat segolongan besar insan hanyut dalam angan-angan yang terapung di awang-awangan.

Namun mata yang celik dan jiwa berontak yang berani mempersoal dan menyiasat akan tetap mengenal cahaya, ibarat jauhari mengenal manikam. Begitu ia mendapatkan, mustahil akan dilepaskan. Sebab mengenal cahaya ini, umpama memperoleh semula suluhan untuk menerangi pemikiran yang diselubungi kekelabuan dek rabunnya pemandangan yang dirancang oleh propaganda jahat sejak penciptaan Adam ‘alaihissalam.

Kerana itulah, pena diangkat dan penulisan mula beroleh rentak dan masih tetap diperjuangkan.

Bukan soal “siapa idola”, “siapa kegemaran”, sebab soal yang lebih utama ialah siapa yang menjadi kompas dalam menunjuk kebenaran untuk disebarkan melalui penulisan.

Penghulunya Sayyiduna Al-Mustafa, Muhammad Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam. Lalu diikuti keteladanan demi keteladanan yang dianugerahkan oleh Tuhan sebagai cerminan yang memantulkan kesempurnaan baginda pada setiap aspek kehidupan dan kematian.

Kesimpulan
Buat mereka yang juga mahu mengangkat pena, sudilah kiranya meluangkan masa untuk menghadam titipan panjang ini dalam-dalam. Untuk apa hal sekalipun; pengucapan awam, penyampaian motivasi dan inspirasi, penulisan prosa dan puisi, catatan dan refleksi; sebelum berjuang menyeru kepada orang di luar, serulah diri sendiri untuk benar-benar berperjalanan.

Benarkah diri sendiri sudah mempunyai ‘substance‘ yang cukup kuat untuk diperjuangkan? Sudahkah ‘substance‘ itu disiasati kiri dan kanan, dicabar atas dan bawah, dibedah sehingga ke jantung sehingga membuat diri betul-betul yakin untuk berkongsi dan menyampaikan?

Jika tidak, mungkin sahaja ‘substance‘ itu yang sebenarnya rapuh, atau diri sendiri yang masih belum betul-betul faham.

Sudahkah diri mengambil panutan yang berhak sebagai kompas dalam melaksanakan pekerjaan? Sejauh mana diri benar-benar menghayati makna kompas pada setiap tindakan, baik penulisan mahupun pengucapan? (Orang sekarang panggil blogging, vlogging, tik tok, clubhouse, et cetera, name it.. akhirnya semua kegiatan akan berbalik kepada dua hal ini sahaja.)

Jika belum, mungkin hasrat perlu ditangguhkan sebentar agar kita bisa mengambil jeda untuk merenung semula dan bersoal jawab dengan diri sendiri mengenai perkara yang selama ini kita abaikan.

Bagi pembaca yang pernah membaca Catatan Hati Nik Nur Madihah, ada beberapa nama penulis yang disebutkan di situ sebagai penulis buku kegemaran. Ketahuilah buku tersebut ditulis oleh seorang profesional sejurus selepas peristiwa besar 12 tahun lampau pada usia yang masih mentah dan belum mengenal kehidupan.

Banyak gagasan yang sudah lama dijatuhkan dan tidak lagi digalas bersama untuk menapak ke depan.

Nilailah apa yang ada pada hari ini; hidupkanlah hati untuk menilai keberadaan dalam waktu sekarang.

Pandanglah masa hadapan dengan perhatian terhadap kebenaran, bukan permainan picisan yang diajak sertai oleh para duniawan.

وَيُحِقُّ اللَّهُ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ (82)

God verifies the truth through His Words, though the guilty be averse. (82)